KUALA LUMPUR, 12 Februari:

Kerajaan perlu memperhalusi keperluan meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 daripada setiap aspek termasuk cadangan meningkatkan hukuman kesalahan melanggar akta itu bagi  mengelakkan kekeliruan dan salah faham di kalangan rakyat, demikian menurut beberapa penganalisis politik.
Mereka berpendapat sebarang cadangan untuk mengkaji semula hukuman OSA, yang dicadangkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, hendaklah mengambil pandangan daripada semua pihak termasuklah parti politik, badan bukan kerajaan serta orang awam bagi memastikan keperluannya difahami, seterusnya diterima oleh seluruh masyarakat.
Ketika ini wujud polemik berhubung cadangan pindaan akta itu, yang antara lain mempertimbang hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan berbanding sedia ada iaitu hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun, sehingga menimbulkan
pelbagai persepsi negatif kononnya ia bertujuan menutup mulut pemberi maklumat.
Sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh berkompromi terhadap sebarang kebocoran maklumat berkaitan isu keselamatan negara, cadangan pindaan OSA hendaklah memperlihatkan prinsip telus dalam tadbir urus kerajaan yang dapat meningkatkan keyakinan rakyat serta masyarakat luar terutama para pelabur terhadap kerajaan dan negara ini.

WUJUD KEPERLUAN

Pada 6 Februari lalu, laporan temubual eksklusif sebuah akhbar berbahasa Cina memetik Mohamed Apandi sebagai berkata Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan OSA dan mempertimbang meningkatkan hukuman ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia kerajaan dan negara, termasuk penjawat awam, orang awam dan pengamal media yang melaporkan berita tentang rahsia berkenaan.
Peguam Negara itu berkata hukuman yang sedang dipertimbangkan adalah  penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan untuk pesalah sementara pengamal media yang didapati melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat yang diperoleh boleh dikenakan hukuman itu.
Melihat kepentingan kerahsiaan maklumat daripada sudut keselamatan negara dalam keadaan dunia hari ini berhadapan dengan ancaman pengganas, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia
Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata wujud keperluan untuk hukuman itu dikaji semula agar ia bersifat lebih tegas dan mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu terlibat.
“Ia perlu kerana ancaman musuh negara seperti IS termasuklah penceroboh di Lahad Datu, Sabah, sebelum ini sangat merbahaya kepada keselamatan negara.
“Namun, jika kebocoran maklumat itu tidak memberi ancaman kepada keselamatan negara tetapi lebih kepada aspek tadbir urus dalam kerajaan, maka hukuman dalam akta sedia ada sudah mencukupi,” katanya.

KAJI SEMULA AKTA PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata bukan semua perkara dalam tadbir urus kerajaan perlu didedahkan kepada umum terutama dalam hal berkaitan keselamatan negara, hanya kerana berpegang kepada prinsip telus.
“Perlu ada keseimbangan antara ketelusan dalam urusan pentadbiran kerajaan dan dalam masa sama turut melindungi (kerahsiaan) sesuatu maklumat serta pemberi maklumat.
“Untuk itu, adalah penting bagi kerajaan untuk mengkaji semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memastikan pemberi maklumat berkaitan salah laku dalam pentadbiran seperti rasuah, dapat dilindungi dengan sebaiknya,” katanya.
Menyentuh tentang prinsip dan etika kewartawanan yang melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat rahsia yang diperoleh, Ahmad Martadha berpendapat mengenakan hukuman lebih berat kepada wartawan yang enggan mendedahkan sumber maklumat mereka adalah tidak wajar kerana golongan itu mempunyai prinsip dan etika kerja, sama seperti profesion lain yang perlu dihormati.