KUALA TERENGGANU – Tiada sebab pemimpin dan ahli Amanah kembali menyertai Pas apatah lagi parti itu disifatkan tidak mampu memberi tekanan kepada kerajaan selepas  gagal  berperanan baik sebagai ‘penasihat’ kerajaan.
Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, keadaan ini boleh dilihat melalui situasi yang berlaku dalam negara yang disifatkan semakin tenat apatah lagi timbulnya cadangan terbaharu untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 oleh Peguam Negara.
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah “Pas sebagai ‘penasihat’, beri nasihat yang sepatutnya, adakah ia mengikut lunas-lunas Islam. Adakah keadilan ditegakkan? Jadi, saya tidak nampak orang akan bersama dengan Pas. Pas tidak berjaya beri tambah nilai.
“Dalam isu RM2.6 bilion yang dikatakan derma itu, Menteri Luar Arab Saudi menafikan ia daripada keluarga diraja Arab Saudi dan beliau sendiri tidak tahu apa-apa sumbangan dana. Kalau ada pun, ia berbentuk pelaburan dan bukan derma.
“Dalam situasi itu, macam mana ahli dari mana-mana parti akan buat keputusan bersama Pas,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin, bahawa Pas akan memberi kejutan besar apabila ramai dalam kalangan tokoh negara yang akan menyertai parti itu dalam masa terdekat ini.
Kenyataan itu dibuat Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang turut menyebut antaranya ahli dan bekas anggota kabinet serta ahli yang condong kepada Amanah juga akan turut ‘pulang’ semula memperkuatkan jentera parti.
Raja Bahrin bagaimanapun memberitahu beliau tidak ada maklumat mengenai mana-mana ahli Amanah yang berminat menyertai Pas.
Beliau sendiri masih tetap dengan pendirian bersama-sama Amanah dan meneruskan perjuangan di negeri ini dalam mengukuh serta memantapkan parti baharu itu dalam persada politik negara.
Beliau juga yakin ahli-ahli Amanah tidak akan tertarik menyertai semula Pas kerana parti itu dilihat gagal dalam ‘menasihati’ kerajaan khusus melibatkan isu-isu tertentu yang berlaku dalam negara.
“Semua orang bebas bercakap buat kenyataan tetapi pokoknya kita lihatlah. Tunggu dan lihat. Bagi Amanah, kita tumpu kerja kita. Setahu kita, ahli-ahli parti bekerja kuat dan puas hati dengan Amanah sendiri,” katanya.