SHAH ALAM - Pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu mengambil langkah usaha penambahbaikan secara terancang dan tersusun.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub berkata, langkah tersebut perlu dibuat demi pengukuhan organisasi dan pengurusan TH.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pihak pengurusan TH, di Ibu Pejabat TH di Jalan Tun Razak.
“Pertemuan itu bagi menunaikan tanggungjawab kami sebagai penyemak imbang kepada persoalan yang melingkari badan penyimpan dana terbesar umat Islam di negara ini disamping mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi agensi itu berkaitan teguran oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
“Setelah hampir dua jam perbincangan dan mendengar penjelasan yang diberikan oleh pihak TH, Amanah berpandangan bahawa laporan dan teguran asal BNM, berasas,” katanya menerusi kenyataan.
BNM mengesahkan telah menghantar notis nasihat kepada Lembaga Tabung Haji baru-baru ini.
Notis nasihat itu dijelaskan adalah mengenai amalan pengurusan risikonya tetapi mengatakan dana haji itu telah mengambil tindakan pembetulan dan menuju ke 'satu kedudukan kewangan yang mampan dan sihat'.
Menurut pihak Amanah lagi, pihaknya akan mengeluarkan satu lagi kenyataan hari ini selepas TH mengumumkan kadar dividen bagi tahun 2015, hari ini.