TEMERLOH - Pas bertegas mahu mempertahankan semua kerusi yang ditandingi parti itu sebelum ini dalam PRU14.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abd Jabar berkata, PKR diingatkan supaya mengawal rakannya dalam Pakatan Harapan supaya tidak bertanding di kawasan Pas, jika tidak mahu pertandingan tiga penjuru.
Menurutnya, Pas tidak akan menarik diri apabila berlaku pertandingan tiga penjuru jika Pakatan Harapan bertanding di kawasan sama dengan Pas.
‘Jangan bertanding di kawasan Pas’ “Pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan sekiranya Pakatan Harapan bertanding di kawasan sama sebab itu kita nasihatkan PKR supaya menasihati rakan mereka supaya tidak bertanding di kawasan milik Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pas Cawangan Taman Temerloh Jaya di sini.
Menurutnya, Pas bebas bertanding di mana-mana kerusi yang difikirkan berpotensi, namun tidak akan mengganggu kawasan rakan tahaluf siyasinya.
Dalam PRU13 lalu, Pas Pahang menang tiga kerusi Dun iaitu di Beserah, Tanjung Lumpur dan Kuala Semantan manakala kerusi parlimen dimenangi di kawasan Parlimen Temerloh menerusi Nasruddin Hasan yang menewaskan Datuk Saifuddin Abdullah dari BN.
Bagaimanapun, Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamed melompat parti menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) beberapa bulan lalu.
Rosli berkata, Pas akan mempertahankan kerusi Dun Kuala Semantan dalam PRU14 tanpa menghiraukan sama ada parti itu bertanding atau tidak.
Katanya, dasar Islam yang diperjuangkan Pas tidak pernah berubah dari dahulu sehingga kini.
Beliau berkata, penegasan Pakatan Harapan bahawa parti itu menolak syariah Islam yang dipersetujui kesemua anggotanya baru-baru ini seharusnya menyedarkan pengundi Islam bahawa tiada masa depan bagi penganut Islam jika parti itu berkuasa di Putrajaya.