SEJURUS selepas Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali
membuat sidang media mengumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib
Tun Abdul Razak tidak melakukan kesalahan jenayah dalam kes melibatkan
RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya, dan mengarahkan SPRM menghentikan
penyiasatannya, Datuk Seri Najib menyatakan kelegaannya kerana isu
tersebut telah selesai.

Menurut Apandi, wang itu adalah derma peribadi keluarga diraja Arab
Saudi dan Najib telah memulangkan AS$620 juta daripada AS$681 juta yang
diderma.
Tetapi, tidak ramai yang percaya akan pengumuman itu. Sebaliknya, ia hanya memanjangkan lagi isu tersebut.
Bersih mengemukakan beberapa soalan. Apa terjadi dengan duit yang tidak
dipulangkan? Mengapa pecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Gani
Patail? Mengapa tukarkan dua pegawai SPRM? Mengapa Najib tidak menyaman
The Wall Street Journal (WSJ)?
Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menyatakan bahawa, semasa sidang medianya,
Apandi telah dengan tidak sengaja mendedahkan dokumen-dokumen yang
menunjukkan beberapa transaksi akaun peribadi Najib di AmBank.
Dokumen-dokumen itu mengesahkan transaksi yang didedahkan Sarawak Report
sebelum ini.
Panel Penilaian Operasi dan Panel Khas SPRM menyatakan SPRM patut terus
berhubung dengan Apandi. Maknanya, mereka tidak bersetuju dengan arahan
Apandi.
Bagi kebanyakan rakyat, Najib mungkin terlepas dari sudut undang-undang, tetapi tidak terlepas dari sudut moral dan politik.
Pada masa yang sama, terdapat cerita bertentangan dari Arab Saudi.
Menurut WSJ, kementerian kewangan dan luar negerinya tiada maklumat
tentang derma ini. Manakala BBC melaporkan yang ia wang peribadi Raja
Abdullah untuk membantu Najib memenangi PRU13 dan menangani pengaruh
Ikhwan Muslimin, yang menurut penderma, adalah organisasi pengganas.
Tetapi, Ikhwan Muslimin bukan kumpulan pengganas. Ia gerakan Islam yang
memperjuangkan “Islam sebagai cara hidup yang lengkap”. Teras
programnya ialah dakwah dan pendidikan. Adakalanya ia terlibat dalam
politik.
Ikhwan Muslimin telah ditubuhkan di banyak negara Arab.
Pemimpin-pemimpinnya telah menghasilkan banyak buku dalam pelbagai
bidang. Syed Qutb telah menghasilkan tafsir Quran yang masyhur – Di
Bawah Lindungan al-Quran.
Hari ini, Ikhwan Muslimin adalah sebahagian daripada gerakan Islam
sedunia. Lain negara, lain namanya dan lain kerangka kerjanya. Tetapi,
umumnya, mereka mengongsi idealisme yang sama, contohnya, “Demokrat
Muslim” dan “Islam rahmat untuk semua”.
Tokoh antarabangsanya, yang merupakan sarjana dihormati di seluruh
dunia, dan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Malaysia beberapa tahun
dahulu, Dr Yusuf Qaradawi, mengetengahkan pendekatan “kesederhanaan”.
Kini, antara idea dalam kalangan Demokrat Muslim ialah bahawa di negara
demokratik yang bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, kita tidak lagi
wajar menggunakan klasifikasi lama yang membahagikan rakyat kepada dua,
iaitu “Muslim” dan “kafir dhimmi”. Sebaliknya, semua rakyat wajar
dilihat sebagai “saudara sewarga negara”.