KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) telah membuat laporan polis berhubung kebocoran kandungan surat daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kedudukan kewangan yang dibocorkan kepada umum, ujar Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
"Hanya saya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dapat (surat itu). Macam mana surat itu boleh keluar?
Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim "Jadi, kita akan lihat hasil siasatan polis, siapa yang mengeluarkan surat itu," katanya Pengerusi TH itu kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.
TH menjadi topik hangat di media sosial kebelakangan ini mengenai tarikh pembayaran bonus pendeposit dan surat Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan rizab.
Beliau berkata tindakan BNM itu tidak salah dan tidak sepatutnya timbul sebarang isu mengenainya.
Katanya isi kandungan surat tersebut lebih kepada BNM memberi peringatan kepada TH, sama seperti yang dilakukan kepada institusi kewangan lain di bawah pemantauan BNM.
"Beliau (Zeti) memberi pandangan dan nasihat supaya menjaga keuntungan demi masa hadapan. Bukan kata TH kerugian atau kehilangan duit. Tindakan mereka tidak salah.
"Yang salah adalah dalang yang mengeluarkan surat tersebut dan memutarbelitkan (fakta yang tidak sepatutnya). Orang itu yang kita akan ambil tindakan, tidak kira siapapun dia," tegasnya.