PUTRAJAYA - Sebarang tindakan atau keputusan penjawat awam yang berniat jahat boleh dicabar di mahkamah. Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah berkata, mahkamah adalah tempat terbaik untuk menentukan salah laku yang didakwa.
"Apa juga keputusan awam yang dibuat oleh penjawat awam dengan niat jahat boleh dicabar di mahkamah undang-undang," katanya pada sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Mengulas mengenai keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menutup tiga kertas siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung SRC International dan derma RM2.6 bilion,  beliau yakin tiada penyalahgunaan kuasa berlaku.
"Atas kapasiti bekas hakim, saya percaya Mohamed Apandi tidak melakukan penyalahgunaan kuasa," katanya selepas menghadiri mesyuarat Panel Khas dan Panel Penilaian Operasi (PPO) bersama SPRM.
Beliau berkata, orang awam kini lebih berpendidikan dan ingin mendapat penjelasan lebih lanjut.
"Sebagai contoh pengaliran wang dalam kedua- dua kes tersebut dianggap penting untuk pengetahuan umum," katanya.
Mohd Noor berkata, Mohamed Apandi selaku Peguam Negara boleh membuat keputusan namun ia  perlu memberi jawapan kepada umum.
"Masyarakat kini berpendidikan, mereka tak boleh ditipu," katanya.
Mohd Noor merupakan antara panel khas yang ditubuhkan untuk memantau dan memberi nasihat kepada SPRM berhubung kes tersebut.
Empat lagi panel adalah Tan Sri Musa Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Lim Chee Wee dan Datuk Zuraidah Atan.
Selasa lalu, Mohamed Apandi berkata, tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan oleh Najib dan mengarahkan kes tersebut ditutup.