SHAH ALAM - Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin menjelaskan, Pas sepatutnya melihat Umno serta BN sebagai musuh sebenar mereka sekiranya berhajat mengubah pentadbiran negara dan bukannya melabelkan DAP sebagai seteru baharu.
Beliau berkata, DAP juga sudah menganggap Umno/BN sebagai musuh politik utama pada PRU14 nanti selain isu korupsi dan penyalahgunaan kuasa.
"Matlamat DAP ialah terus berkhidmat kepada rakyat dan bekerja sementara perkara lain cuma ‘cakap-cakap’ sahaja.
“Musuh DAP yang sebenar ialah Umno, korupsi, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan hak. Musuh kita bukan sesiapa. Pada saya kita buat kerja dan sambung kerja kita membina sistem dan berkhidmat untuk masyarakat," katanya.
Bee Yin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai krisis antara DAP-Pas yang dilihat semakin meruncing dan boleh menggugat permuafakatan dalam kerajaan negeri.