Sabtu, 9 Januari 2016

Tiada lagi 'bersetuju untuk tidak bersetuju', kata Pakatan Harapan

Pakatan Harapan tidak lagi akan 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dan mana-mana parti yang melanggar konsensus gabungan itu akan dipecat.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata 'bersetuju untuk tidak bersetuju' tidak lagi menjadi prinsip Pakatan Harapan.

Ketiga-tiga parti, katanya, bebas untuk membuat keputusan politik mereka, selagi ia tidak bertentangan dengan perjanjian dan keputusan bersama yang dimeterai hari ini, atau yang dibuat oleh majlis presiden.

Beliau berkata demikian di sidang kemuncak kepimpinan Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini, di mana PKR, DAP dan AMANAH akan menandatangani perjanjian bersama untuk gabungan mereka.

Setiausaha Organisasi AMANAH, Suhaizan Kaiat pula berkata, jika mana-mana parti-parti itu didapati melanggar perjanjian tersebut, parti-parti lain dalam Pakatan Harapan mempunyai hak untuk memecatnya dari gabungan itu.

Status Pakatan Harapan sebagai satu pakatan politik antara parti-parti berkenaan, tambahnya, hanya boleh diumumkan oleh majlis presiden.

Klausa ini dalam perjanjian Pakatan Harapan itu dengan jelas bermaksud pakatan itu tidak boleh dibubarkan secara unilateral.

Ini akan menghalang apa yang telah berlaku terhadap Pakatan Rakyat, yang berkubur selepas pemimpin DAP Lim Kit Siang mengumumkan pembubarannya.

Sementara itu Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke mengumumkan bahawa di bawah perjanjian itu, pertandingan tiga penjuru yang melibatkan lebih daripada satu parti dalam gabungan Pakatan Harapan, tidak akan berlaku lagi.

Pakatan Harapan, katanya, hanya akan meletakkan seorang calon untuk mewakili pakatan itu dalam mana-mana pilihan raya.

Beliau berkata calon-calon akan dipilih oleh parti masing-masing, manakala pengagihan kerusi akan diputuskan oleh sebuah jawatankuasa pilihan raya.

Semua keputusan mesti diluluskan oleh majlis presiden, katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata parti-parti dalam pakatan itu juga dilarang daripada mengadakan rundingan terus dengan parti-parti di luar Pakatan Harapan selepas pilihan raya.

Ini, kata Loke, termasuk membentuk kerajaan atau sebuah pentadbiran, kecuali jika majlis presiden dimaklumkan terlebih dahulu..

posted from Bloggeroid

Dr Zuhdi: Bersetuju untuk tidak bersetuju 'atas kertas saja'

Langkah Pakatan Harapan untuk tidak lagi menggunakan prinsip "bersetuju untuk tidak bersetuju" disifatkan sebagai mustahil dan tidak akan berlaku.

Ini kerana, tegas Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki, perkara itu hanya akan tertulis di atas kertas sahaja dan tidak akan dilaksanakan.

Apatah lagi jika setiap daripada mereka mempunyai agenda peribadi masing-masing, kata Zuhdi.

"(Prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju) sesuatu yang tidak mungkin berlaku, kalau dia buat itu adalah mustahillah untuk berlaku.

"Benda yang sama, janji yang termeterai macam Pakatan Rakyat dulu, cuma tertulis ada buat itu, tetapi hati masing-masing ada agenda sendiri dan tidak akan berkekalan," kata Zuhdi kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas majlis Taklimat Kas Presiden di Taman Melewar hari ini.

Pakatan Harapan hari ini mengadakan sidang kemuncak kepimpinannya di Shah Alam, di mana PKR, DAP dan AMANAH menandatangani perjanjian bersama untuk gabungan mereka.

Dalam sidang tersebut Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata 'bersetuju untuk tidak bersetuju' tidak lagi menjadi prinsip Pakatan Harapan.

Ketiga-tiga parti bebas untuk membuat keputusan politik mereka, selagi ia tidak bertentangan dengan perjanjian dan keputusan bersama yang dimeterai hari ini, atau yang dibuat oleh majlis presiden.

Mengulas lanjut, Zuhdi berkata mana mungkin kesemua pimpinan parti Pakatan Harapan menerima keputusan tersebut kerana setiap manusia pasti akan berbeza pandangan.

"Mustahil manusia bersetuju dalam semua perkara, kalau dia kata hendak menolak bersetuju untuk tdiak bersetuju, tidak mungkin berlaku.

"Manusia ini mesti ada perbezaan pandangan, cuma bagaimana hendak menguruskan pandangan, itu yang sepatutnya berlakulah," katanya.

posted from Bloggeroid

Pendirian samar meskipun perjanjian dimeterai

SHAH ALAM: Meskipun pimpinan Pakatan Harapan (PH) meterai perjanjian kesepakatan politik mereka hari ini, banyak persoalan yang berligar sekitar isu yang menjadi titik perbalahan masih belum terjawab.

Di sidang media pemeteraian perjanjian itu, pimpinan Pakatan Harapan tidak menjawab soal hudud dan kerjasama dengan PAS secara jelas.

Ketika ditanya dasar bersama PH berkenaan undang-undang syariah, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata isu itu masih perlu dibincangkan, namun menegaskan sebarang keputusan yang bakal dibuat adalah melalui kesepakatan.

“Dasar Pakatan Rakyat akan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya, dan menambah sebagai orang Islam beliau tidak menentang Hudud.

Berkenaan isu kerjasama dengan PAS, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata PAS telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan: sekiranya ada rancangan untuk bekerjasama dengan parti Islam itu, ia akan ditentukan di kemudian hari.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menggesa orang-ramai supaya tidak membuat spekulasi, kerana yang lebih penting adalah kewujudan satu perjanjian yang akan memandu pakatan itu ke arah satu dasar bersama.

“Kita tidak boleh bertindak sebelum masanya, kita perlu berhati-hati meletakkan batu asas satu persatu bagi memastikan kita mewujudkan pakatan yang mapan. Kita perlu melalui proses itu terlebih dahulu,” katanya berhubung keputusan dan pendirian pakatan itu keatas pelbagai isu berbangkit.

Sementara itu, Presiden AMANAH Mohamed Sabu berkata partinya dan pakatan itu tidak mahu terperangkap dalam politik perkauman, seraya menyanggah cadangan daripada wakil AMANAH Johor supaya DAP tidak meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu, lantaran terpalit imej anti-Melayu dan anti-Islam.

posted from Bloggeroid

Pembahagian kerusi PRU14 ujian sebenar Pakatan Harapan, ramal penganalisis

Ketika Pakatan Harapan bersiap sedia menandatangani perjanjian tataetika untuk mengukuhkan hubungan mereka hari ini, fakta yang perlu dihadapi ialah Parti Amanah Negara (Amanah) berdepan realiti menerima jumlah kerusi lebih kecil pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis.

Ketiga-tiga parti dalam gabungan pembangkang itu akan menandatangani perjanjian yang menjadi panduan kepada mereka untuk menyelesaikan konflik, membuat keputusan dan membina perpaduan – sesuatu tidak pernah dilakukan gabungan sebelum ini, Pakatan Rakyat.

Walaupun ia mampu membantu pembangkang mengawal pergaduhan terbuka di kalangan ahli, isu tentang pembahagian kerusi akan menjadi ujian utama.

Bagaimanapun, gabungan itu sudah diuji dengan pembahagian kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, Amanah – parti serpihan PAS, perlu membuktikan kredibiliti mereka sebagai parti politik yang berwibawa sebelum mampu membuat tuntutan untuk bertanding dalam PRU14.

Pensyarah undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, Amanah juga seharusnya berterima kasih kepada rakan komponen Pakatan Harapan di Selangor kerana bermurah hati memberikan 8 kerusi ahli majlis PBT kepada mereka.

"Amanah tidak wajar mohon lebih kerusi, mereka belum ada kredibiliti. Pemimpin mereka dulu parti lain, tidak wajar mereka minta lebih kerusi," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, kepimpinan Pakatan Harapan juga sudah pasti menilai keupayaan Amanah sebelum menyerahkan mana-mana kerusi untuk dipertandingkan parti itu pada PRU14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya 2018.

"Apa yang dilakukan Pakatan Harapan di Selangor refleksi kepada yang akan berlaku kepada mereka dalam pembahagian kerusi untuk PRU14.

"Kita juga tidak pasti calon Amanah mampu memenangi kerusi dalam PRU14," katanya.

Pendapat Martadha itu turut disokong Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Aris Arif Mundayat yang berpendapat, Amanah mempunyai kekuatan lebih kecil berbanding rakan mereka dalam Pakatan Harapan.

"Amanah lebih kecil, kekuatan mereka belum terbukti dan masih baru sertai struktur ahli majlis PBT," katanya.

Martadha berkata, meskipun pemimpin Amanah pernah menjadi individu penting dalam PAS, keupayaan mereka sebagai ahli politik belum terbukti secara peribadi.

"Untuk PRU14, Amanah tidak boleh minta lebih kerusi, realitinya mereka belum teruji," kata Martadha.

Tetapi Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau tidak khuatir perkara itu kerana blok pembangkang akan menandatangani persetujuan secara kolektif hujung minggu ini.

"Saya sangat positif mengharapkan komponen dapat buktikan mereka faham dan tahu tuntutan serta manfaat politik.

"Macam mana pun kesukaran dalam pembahagian kerusi, ia dapat diselesaikan Majlis Presiden Pakatan Harapan," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak akan wujudnya masalah pembahagian kerusi untuk pembangkang pada PRU14.

"Saya tidak kata tidak ada masalah tetapi saya positif dengan semangat setia kawan dalam Pakatan Harapan," katanya.

Pakatan Harapan akan menganjurkan konvensyen presiden pada hujung minggu ini di Shah Alam bagi memuktamadkan kerjasama.

Tindakan itu dilihat pengajaran yang diterima mereka dalam Pakatan Rakyat apabila keputusan mesyuarat Majlis Presiden sering dilanggar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Bagaimana sekalipun kesukaran dalam pembahagian kerusi, ia akan dapat diselesaikan Majlis Presiden," kata Dr Dzulkefly.

"Kami sedar kedudukan parti masih baru, tetapi bukan mudah meskipun dipimpin orang lama," katanya.

posted from Bloggeroid

Politik Melayu, isu pekerjaan, ekonomi tumpuan Pakatan Harapan

Tiga isu utama, ketidakstabilan politik Melayu, isu pekerjaan dan ekonomi akan menjadi tumpuan utama dalam dasar bersama Pakatan Harapan yang bakal dibentang pada Jun nanti.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, 3 parti komponen dalam gabungan pembangkang itu akan mencari inisiatif bagi menangani isu tersebut bermula Mac ini.

Isu pertama akan menjadi cabaran utama kepada masa depan Pakatan Harapan kerana persepsi Melayu sering menjadi modal Barisan Nasional (BN) untuk menentang mereka, kata Rafizi.

"Masalah utama kami adalah bagaimana menyelesaikan politik perkauman dan pandangan negatif orang Melayu kepada kami.

"Jadi kami perlu tanganinya dan menyelesaikan ketidakstabilan politik dan ekonomi orang Melayu," kata ahli Parlimen Pandan itu.

Pakatan Harapan melibatkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menandatangani perjanjian mengikat cara mereka bekerjasama dan bersatu dalam polisi awam yang akan diputuskan.

Kertas polisi bersama yang akan diumumkan pada Jun akan menjadi yang pertama sejak ia mula ditubuhkan 5 bulan lalu selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.

Polisi kedua pula akan mencari jalan penyelesaian orang ramai terhadap keadaan ekonomi seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), kos sara hidup dan gaji yang tidak meningkat.

Rafizi berkata, pasaran kerja akan menjadi isu ketiga yang akan ditangani dengan inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan ke atas pekerja asing dan kaedah untuk menyediakan pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik.

posted from Bloggeroid

PH dukung hak Bumiputera, Islam, Raja, Bahasa, Sabah dan Sarawak

SHAH ALAM: Pakatan Harapan berikrar untuk melindungi hak keistimewaan Bumiputera, Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan kedudukan Sabah dan Sarawak.

Wakil DAP, Anthony Loke berkata perikatan itu akan mendukung peruntukan-peruntukan penting yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menjelaskan kandungan perjanjian antara komponen PH yang dimeterai hari ini, Anthony berkata kedudukan Islam akan dilindungi dan dimartabatkan sebagai agama Persekutuan, dan dalam masa yang sama memastikan agama-agama lain boleh diamalkan selaras dengan Perkara 3.

“Kita akan melindungi kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 153, kita akan pertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan,” katanya ketika berucap membentangkan Perjanjian Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Perikatan itu juga akan mendukung Bahasa Melayu serta mengukuhkan pengunaan bahasa itu sebagai bahasa perantaraan dan bahasa ilmu. Dalam masa yang sama melindungi bahasa vernakular, serta memperhebatkan penggunaan bahasa Inggeris bagi menambahbaik daya saing negara di peringkat antarabangsa.

Menyentuh soal Sabah dan Sarawak pula, Anthony berkata keistimewaan dua negeri itu akan diiktiraf selaras dengan peruntukan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Anthony berkata dasar bersama PH nanti akan mengambil kira pandangan daripada pelbagai institusi awam dan agama, kumpulan hak asasi masyarakat, wanita, belia, siswa, profesional dan kaum minoriti.

posted from Bloggeroid

Mat Sabu yakin AMANAH boleh ganti UMNO, PAS

SHAH ALAM: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yakin partinya mampu menggantikan UMNO dan PAS, khususnya bagi mendapatkan undi orang Melayu di kawasan pedalaman.

Ketika menjawab soalan pemberita berhubung mengisi jurang yang ditinggalkan PAS, beliau dengan yakin menegaskan AMANAH merupakan parti yang paling pantas berkembang di Malaysia.

“Benar AMANAH baru berusia tiga bulan dan tiga minggu, tetapi kami adalah parti yang paling pantas berkembang.

“Maka, kami akan mengantikan – KEADILAN dan DAP dan…AMANAH – akan menggantikan PAS dan UMNO. Saya amat yakin pada pilihan raya akan datang,” katanya dalam sidang media selepas tamat Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.

AMANAH dilancarkan pada sambutan Hari Malaysia iaitu 16 September lalu oleh barisan pemimpin PAS yang tewas pada muktamar pemilihan 2015.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Mohamad Sabu yang merupakan bekas Timbalan Presiden PAS menyatakan, AMANAH komited untuk memberikan sumbangam maksimum dalam pakatan pembangkang baharu itu, termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Kami akan terus bekerja kuat dan anda lihatlah kekuatan kami nanti.

“Laluan getir kita adalah PRN Sarawak. Walaupun sedar kami ini `parti adik’, kami berjanji akan memberikan kerjasama dan berusaha sekuat mungkin,” ujarnya.

posted from Bloggeroid

Nik Amar: Pakatan Harapan tahan lama jika amal 'Tongkat Ali'

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah menjangkakan hayat Pakatan Harapan mungkin dapat bertahan lama jika perikatan itu mengamalkan 'Tongkat Ali'.

"Jangka hayat Pakatan Harapan, saya tidak tahu kalau diorang makan "tongkat Ali" mungkin panjang," kata Mohd Amar sambil ketawa kecil sebelum berlalu meninggalkan pemberita selepas menghadiri taklimat khas presiden di Taman Melewar hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan apa yang dimaksudkannya dengan istilah 'Tongkat Ali' itu.

Nik Mohd Amar yang juga pesuruhjaya II PAS Kelantan berkata demikian ketika mengulas masa depan pakatan itu yang turut mengadakan sidang kemuncak kepimpinan Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini.

Malah, Nik Amar juga enggan mengulas langkah pakatan itu apabila mengambil pendirian untuk tidak lagi 'bersetuju untuk tak bersetuju'.

"Saya tak mahu komen," katanya ringkas.

Banyak pihak sebelum ini menjangkakan hayat pakatan itu tidak akan kekal lama.

Salah satunya ialah PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) apabila menyatakan jangka hayat Pakatan Harapan lebih pendek dari Pakatan Rakyat.

Kenyataan tersebut difahamkan dibuat berdasarkan kepada konflik yang berlaku antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan, ditambah lagi dengan masalah dalaman di dalam parti masing-masing, dan ia menjangka paling lama hayat pakatan itu boleh bertahan ialah sebaik sahaja selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

PAS hari ini mengadakan taklimat khas presiden bagi membincangkan isu-isu semasa yang bermula sekitar jam 9 pagi.

Taklimat hari ini turut dihadiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Bagaimanapun beliau meninggalkan majlis sekitar jam 12.15 tanpa memberi sebarang komen kepada pemberita.

posted from Bloggeroid