Ahad, 3 Januari 2016

2016: Kemarahan rakyat tetap membara

Pagi Januari di ibu negara adalah mirip musim tengkujuh di pulau saya, Langkawi. Kami memanggilnya angin timur(sudah tentu bunyinya angin timoq).

Ketika ini rumput kering dan banyak daun-daun hutan yang luruh kerana kekurangan hujan. Angin yang bertiup kering membawa bersama aroma rumput dan dedaun kering dari hutan khatulistiwa yang mendominasi bumi Langkawi ketika saya kecil.

Saya ingin kongsikan kepada anda semua betapa angin timur yang bertiup kencang dari lautan ini membawa bersamanya aroma laut andaman dan ianya bernilai aromaterapi lautan yang asli dan suci. Ia bukan seperti semburan `Sea Breeze’ tiruan dari botol yang dihasilkan di meja makmal.

Musim timur meninggalkan kesan psychology mendalam di jiwa saya hingga ke hari ini. Ianya musim terindah dalam kehidupan saya sebagai anak pulau. Setiap pagi saya akan duduk di beranda rumah kedai ayah yang di kelilingi pohon kelapa.

Bunyi angin yg menderu bercampur bunyi daun-daun kelapa yang riuh menjadikan ianya pesta keamanan bagi saya. Syurga saya akan lebih indah bila burung berkicauan, ayam berkokokan dan sesekali bunyi enjin motor kapcai orang kampung melengkapkan kehidupan syurga di pulau saya.

Kini sudah 5 tahun saya menetap di kawasan berbukit yang dikelilingi padang luas di Selangor. Di belakang rumah saya adalah hutan nipis yang didiami monyet, ayam hutan, kelip-kelip dan berbagai unggas hutan. Sudah nama anak kampung pasti saya mencari suasana yang sama di pinggiran untuk mencari rezeki di bandar.

Pagi Ahad ini memberi saya ruang untuk kembali mengimbau detik indah kehidupan kanak-kanak dan remaja saya dipulau berpasir putih suci. Saya tersenyum sepanjang pagi melihat dari jendela kamar tidur saya yang mengadap hutan nipis. Cahaya matahari pagi dari celahan pokok benar-benar menyinari hidup saya pagi ini. Burung-burung menyanyi dan angin beraroma daun dan rumput kering meniup muka saya di pintu jendela membuatkan saya berasa seperti dakapan ibu disuatu pagi ketika kecil di pulau.

Kebahagiaan saya tiba-tiba disentap tatkala saya memegang telefon bimbit di hujung katil. Apabila jari saya menyentuh ikon Facebook, apa yang terpampang di sepanjang news feed hanya teriakan rakyat mendesak Perdana Menteri Malaysia ke enam meletak jawatan. Ia sama sekali berbeza ketika saya menikmati musim timur di Langkawi kerana ketika itu apabila mendengar mesyuarat tingkap makcik-makcik kampung yang pulang dari pasar.

Rakyat ketika itu setiap hari membina peningkatan hidup hasil kemakmuran ekonomi dan mereka semuanya menyayanyi dan menyanjungi Tun Dr Mahathir Mohamad. Berbeza hari ini, kerana rakyat sudah tidak bermesyuarat tingkap di rumah jiran, tetapi mereka mencurahkan keresahan dan kemarahan mereka di media sosial.

Keresahan saya menggunung tinggi memikirkan apa lagi aset negara yang akan dilelong oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kuasa asing. Aset strategik negara yang membekal kuasa elektrik kepada rakyat dan sektor ekonomi juga sudah dilelong murah oleh Datuk Seri Najib. Begitu juga aset tanah kerajaan yang sepatutnya menjadi hak rakyat turut dilelong Datuk Seri Najib. Apa lagi selepas ini?

Saya pasti ada lagi aset yang akan dilelong kerana 1MDB masih nazak dan ekonomi negara sedang menerima rawatan ICU. Segala subsidi yang diberikan sebagai nilai kasih sayang kerajaan kepada rakyat selama ini telah direntap rakus oleh Datuk Seri Najib. Rakyat hidup tanpa belas ihsan dan kasih sayang kerajaan lagi. Ia hanya kerana seorang manusia bernama Najib Tun Razak.

Begitu ramai orang Melayu dalam parti keramat bangsa, UMNO. Namun, semuanya umpama jantan tidak bertelur. Berlagak berkopiah tinggi mencium keris pusaka, namun, telurnya gugur dijampi mentera hitam. Sang ibu juga hilang kewanitaannya. Bertudung litup namun, lupa rukun ke enam umat Islam. Mereka menyerah nasib kepada presiden, bukan kepada Tuhan.

Salam angin timur.

posted from Bloggeroid

Meterai kerjasama UMNO-Pas

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Kerjasama UMNO-Pas yang semakin hangat dibincangkan ketika ini perlu ‘dimeterai’ secepat mungkin, memandangkan kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu tidak mempunyai masa yang lama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN),Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishakberkata, sekarang merupakan masa paling sesuai bagi UMNO serta Pas menamatkan perseteruan sesama parti itu dan memberi fokus kepada kerjasama yang menguntungkan orang Islam.

Katanya, tiada alasan kedua-dua parti Islam itu untuk tidak bekerjasama kerana apa yang membezakan keduanya hanyalah kaedah pelaksanaan agenda Islam sahaja.

“Kaum Aus dan Khazraj yang selama 200 tahun bermusuh, tanpa mengetahui sebab sebenar permusuhan mereka pun boleh bersatu selepas kedatangan Rasulullah SAW serta penyebaran Islam. Apa masalah UMNO-Pas? Adakah permusuhan UMNO-Pas lebih teruk daripada Aus dan Khazraj ketika zaman jahiliyah?

“Kedua-duanya hanya salah faham sedikit sahaja dari segi politik, sudah tiba masanya buang yang keruh, ambil yang jernih. Penyatuan UMNO-Pas boleh mencipta sejarah baharu kepada politik negara, ke­tepikanlah kumpulan yang menentang kepada perpaduan ini, mereka tidak akan berjaya.

“Penyatuan UMNO-Pas juga boleh menjadi contoh teladan kepada umat Islam serata dunia, ketika kebanyakan negara Islam berbalah sesama sendiri. Penyatuan ini bakal memberi nikmat kepada negara, pelbagai masalah boleh diselesaikan, boleh rintis kepada jalan perpaduan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menjelaskan bahawa sudah tiba masanya kerjasama UMNO dan Pas dicapai.

Bagi pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Ismail Sualmanpula, beliau tanpa berselindung optimis bahawa penyatuan antara UMNO-Pas pasti menjadi kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa usa­ha itu bukannya baru, tetapi telah digerakkan sebelum pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi, di atas dasar kemaslahatan Islam setelah timbulnya beberapa isu seperti murtad, kalimah Allah dan juga pelaksanaan hukum hudud.

“Perlu wujud kerjasama antara keduanya, perlu ada keselarasan dari aspek pemikiran. Pendekatan mungkin berbeza, Pas kini bersendirian, mereka lebih berpeluang sekiranya bekerjasama dengan UMNO.

“Siapa yang menghulurkan salam bukannya persoalan. Sekiranya sebelum ini Pas boleh bertahaluf siyasi dengan DAP, kenapa tidak boleh menjalin ukhuwah dengan UMNO sekarang? Kedua-duanya perlu ke­tepikan kepentingan diri dan jangan diungkit perkara lalu demi umat Islam,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamatmenjelaskan, kerjasama antara UMNO dan Pas boleh bermula dari sekarang, kerana pilihan raya umum akan datang lebih kurang dua tahun sahaja lagi.

“Penyatuan ini penting untuk survival politik Islam. Jadi, kedua-duanya perlu membuat keputusan sekarang, supaya tidak berhadapan sebarang masalah menjelang pilihan raya umum akan datang kerana persefahaman telah dibentuk dari awal lagi,” ujar beliau.

posted from Bloggeroid

Hak asasi manusia di Malaysia mundur dengan Akta MKN, kata Suhakam

Hak asasi manusia di Malaysia makin mundur jika Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 dijadikan sebahagian undang-undang negara, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam.
Malaysia akan semakin mundur daripada segi hak asasi manusianya jika Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 dijadikan sebahagian undang-undang negara, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam.

Dalam satu wawancara sebelum berakhirnya tempoh perkhidmatan beliau pada April, Hasmy berkata, beliau melihat hak asasi manusia di negara ini sekurang-kurangnya sejak 5 tahun lalu sehingga kini, tidak menyaksikan perubahan besar.

Ini kerana, langkah positif yang diambil seperti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kemudiannya dibatalkan dengan penggubalan undang-undang baru yang menyekat kebebasan awam.

 Komen Hasmy ini mengungkapkan satu tahun yang gelap daripada segi hak asasi manusia di Malaysia ketika Putrajaya mengukuhkan lagi undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap pengkritik pentadbiran Najib.

"Setakat ini, kita (Malaysia) tidak banyak melakukan perubahan besar. Walaupun terdapat beberapa perkembangan positif seperti pemansuhan ISA, terdapat juga perubahan yang meletakkan kita jauh ke belakang dalam hak asasi manusia.

"Contohnya, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) serta Akta Hasutan yang diteruskan (kini diperkukuhkan) dan lulusnya RUU MKN.

"Sekiranya ia (RUU) menjadi undang-undang, ia akan meletakkan kita sebagai sebuah negara yang makin terkebelakang dalam konteks hak asasi manusia dan urus tadbir yang baik," katanya kepada The Malaysian Insider.

RUU MKN itu, yang dengan laju diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, membolehkan majlis dipengerusikan perdana menteri mengisytiharkan zon keselamatan.

Kuasa ini disifatkan masyarakat sivil sebagai "kuasa ala darurat" dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mengisytiharkan darurat.

Pengkritik berkata, RUU keselamatan itu memberikan kuasa penuh kepada perdana menteri tanpa perlu mendapat persetujuan istana semasa krisis negara.

Majlis itu juga boleh membenarkan carian, rampasan harta dan tangkapan di kawasan keselamatan tanpa waran.

Isu LGBT paling mencabar

Hasmy berkata, hak LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual) merupakan salah satu isu paling mencabar yang perlu ditangani pesuruhjaya Suhakam baharu nanti, dan masyarakat Malaysia amnya, dengan serius dan berhati-hati.

Katanya, walaupun isunya sangat rumit untuk diselesaikan, namun perbincangan perlu diadakan untuk memahami dan menggalakkan satu suasana yang toleran terhadap komuniti ini.

"Isu ini sangat sensitif di Malaysia dan mesti dikendalikan dengan berhati-hati dan berhemah supaya tidak menjejaskan kemajuan dalam agenda hak asasi manusia di negara ini.

"Suhakam akan terus menangani cabaran ini menerusi lebih banyak dialog dan hubungan dengan pihak berkenaan, dengan harapan dari masa ke semasa akan wujud persefahaman dan toleransi yang lebih baik.

"(Agar) menyebabkan berkurangnya kejadian gangguan dan ugutan, jika tidak dihapuskan sama sekali pun, dan meningkatkan sikap menghormati kebebasan peribadi dan privasi.

"Saya harus akui isu ini adalah salah satu yang paling sukar dikendalikan Suhakam tanpa penyelesaian yang mudah," katanya.

Hasmy berkata, satu lagi cabaran ialah memperbaiki pemahaman mengenai hak asasi manusia di Malaysia memandangkan ramai yang masih melihatnya daripada perspektif etnik, budaya dan agama.

Rakyat Malaysia sewajarnya memperbetulkan tanggapan terhadap isu hak asasi manusia dengan mengubah sikap dan pemikiran mereka, katanya.

Suhakam sebelum ini mengecam Putrajaya kerana pendiriannya yang sering bercanggah mengenai hak asasi manusia, ketika kerajaan cuba menggilap imej antarabangsanya sambil membuat kenyataan politik di dalam negara.

posted from Bloggeroid