Sabtu, 26 November 2016

Zunar: Ahli Umno tumbuk 4 kali, tarik kolar saya

Empat tumbukan dilepaskan ketika serangan sekumpulan anggota Umno di Komtar semalam, kata kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque.
"Mereka juga tarik kolar saya, saya diserang secara fizikal, tetapi saya terus tenang, saya tidak mahu bertindak balas," kata Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar kepada Malaysiakini.
"Sebagai penerima anugerah kartunis untuk Anugerah Keamanan yang disampaikan oleh bekas Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu Kofi Anan di Geneva tahun ini, saya mahukan keamanan, bukan perang," katanya.
Zunar berkata ketua kumpulan itu memperkenalkan diri sebagai anggota Pemuda Umno dan mereka diketuai Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim.
Beliau menggesa Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengajar anggota-anggotanya menjaga kelakuan, bukan bertindak ganas terhadap pesaing mereka atau orang yang mempunyai pandangan berbeza dengan mereka.
"Adalah malang, kerana penyokong parti pemerintah, mereka mengancam untuk membakar buku-buku saya," kata Zunar.
"Selain memaksa saya mengambil semua karya seni saya yang telah dilekat untuk pameran, mereka menendang dan merosakkan dua keping lukisan saya, kumpulan itu juga bertanya kepada saya mengapa saya tidak melukis kartun menentang kerajaan Pulau Pinang," kata Zunar.
"Saya beritahu mereka bahawa mereka boleh mengadakan pameran mereka sendiri tentang kerajaan Pulau Pinang jika mereka mahu, tetapi jangan ganggu saya," katanya.
Pameran 10 karya seni Zunar terletak di tingkat 3 Komtar telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng pada tengah hari sebelum ia diganggu oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno Pulau Pinang.
Mereka yang terdiri sekumpulan 30 orang melemparkan kata-kata kesat terhadap Zunar dan dua pembantunya seperti "haram jadah" semasa kekecohan yang bermula sekitar jam 3 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA