Selasa, 1 November 2016

Zairil: PAC mengiyakan kritikan 1BestariNet merugikan

Penemuan membuktikan ia tidak wajar dilaksanakan, dan terdapat ketirisan berlaku akibat perlantikan kontraktor yang tidak menguntungkan kerajaan.
zairil-pac
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata audit susulan ke atas projek 1BestariNet mengiyakan kritikannya sebelum ini, berhubung kerugian yang ditanggung kerajaan akibat pengurusan kontrak yang lemah dan perbelanjaan mencurigakan.
Zairil Khir Johari berkata penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan dakwaan 1BestariNet merupakan projek mega yang menyebabkan pembaziran berbilion ringgit.
“Siasatan PAC membuktikan projek 1BestariNet tidak wajar dilaksanakan, dan terdapat ketirisan berlaku akibat perlantikan kontraktor yang tidak menguntungkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi FMT.
“Ia sekaligus mengiyakan semua hujah saya semasa membangkitkan perkara ini pada 2013 sebaik sahaja saya masuk Parlimen.”
Projek oleh Kementerian Pendidikan bertujuan untuk menyediakan rangkaian 4G berkelajuan tinggi dan platform pembelajaran atas talian melalui persekitaran pembelajaran maya (VLE).
Projek RM4.1 bilion itu diperkenalkan bekas timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd secara tender terbuka.
Hari ini di Dewan Rakyat, PAC membentangkan laporan berhubung perkhidmatan 1BestariNet yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3 dan dibentangkan di Parlimen pada 10 November 2014.
Pengerusi Datuk Seri Hasan Arifin dalam kenyataan hari ini meminta JAN melaksanakan kajian keberkesanan projek 1BestariNet dan meneliti semua dokumen perjanjian kontrak bagi memastikan kepentingan kerajaan dilindungi.
Antara perkara kontroversi yang dibangkitkan Zairil adalah pemasangan menara 1BestariNet Receiver Integrated System (1BRIS) yang berfungsi untuk menerima dan menghantar isyarat di sekolah yang tidak mempunyai struktur Rangkaian Kawasan Tempatan (LAN).
Menurut Zairil, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mengesyorkan Kementerian Pendidikan mengenakan sewa bulanan RM1,200 kepada YTL bagi setiap tapak 1BRIS.

Menurut Zairil lagi, kementerian pada 14 Februari 2014 mengambil keputusan untuk mengenakan sewa tahunan RM1,000 kepada YTL bagi setiap tapak 1BRIS.
“Kalau harga komersial RM1,200 hingga RM1,500 sebulan, kerajaan sudah kerugian berpuluh juta ringgit,” katanya kepada FMT.
Dari segi keberkesanan pula, Zairil berkata setiap penunjuk prestasi utama (KPI) gagal dicapai kerana masih banyak sekolah yang tidak mempunyai rangkaian internet yang baik.
“Saya cadangkan agar 1BestariNet dihentikan dan sekolah diberi kebebasan untuk memilih jenis internet dan syarikat operator yang diinginkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA