Khamis, 3 November 2016

Zaid serlahkan sikap anti-hudud, kata PAS

PAS berjuang mendaulatkan agama Allah kerana Islam diturunkan untuk membawa rahmat dan keadilan kepada semua
tuan-man-zaid
PETALING JAYA : Amaran Datuk Zaid Ibrahim yang Pakatan Harapan (PH) akan hilang sokongan jika bekerjasama dengan PAS tanpa memastikan parti itu mengabaikan agenda hudud menyerlahkan sikap anti-hudud bekas menteri itu.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti Islam itu berjuang untuk mendaulatkan agama Allah kerana Islam membawa rahmat dan keadilan kepada semua.
“Dalam apa jua muafakat sikap hormat dasar perjuangan sesebuah parti mesti diutamakan. Memberi keutamaan kepada isu yang disepakati dalam menyelamatkan negara.
“PAS hanya akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sedia menghormati dasar PAS,” katanya kepada FMT hari ini.
Terdahulu, Zaid memberi amaran PH akan hilang sokongan sekiranya ia mengadakan sebarang kerjasama dengan PAS tanpa terlebih dulu memastikan parti itu mengabaikan agendanya melaksanakan hudud.
Zaid berkata Pakatan kini kembali mesra dengan PAS.

Mengulas isu sama, Ketua Sekretariat Pakatan, Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan PH adalah satu gabungan 3 buah parti iaitu DAP, PKR dan Amanah yang setiap satunya mempunyai identiti, matlamat, dasar-dasar dan kaedah operasinya yang tersendiri.
Beliau berkata, ketiga-tiga parti bersetuju dan bersepakat dalam dasar-dasar utama berserta fundamental.
“Ketika dalam Pakatan Rakyat dulu, iaitu dengan adanya PAS dalamnya, perkara yang sama diamalkan. Oleh itu, saya kira apa yang lebih penting ialah meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti.
“Sekiranya ini menjadi premis, maka, tentu ada perkara-perkara fundamental yang boleh dipersetujui dan disepakati antara PH dan PAS serta parti-parti pembangkang yang lain, contohnya Bersatu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA