Khamis, 3 November 2016

Zaid selar Pakatan ‘terdesak’ kerana dekati PAS

Beliau mengulas kesediaan presiden PAS menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan.
zaid-ibrahim-pas-1
PETALING JAYA: Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim memberi amaran Pakatan Harapan akan hilang sokongan sekiranya ia mengadakan sebarang kerjasama dengan PAS tanpa terlebih dulu memastikan parti itu mengabaikan agendanya melaksanakan hudud.
Zaid berkata Pakatan kini kembali mesra dengan PAS.
“Sudah pasti mereka akan ditentang sekiranya mengadakan kerjasama dengan (Presiden PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang tanpa PAS mengabaikan rancangan hududnya di Kelantan,” katanya kepada FMT.
Bulan lalu, ketua sekretariat Pakatan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata gabungan PKR, DAP dan Amanah itu sudah memulakan rundingan dengan parti pembangkang lain termasuk PAS dalam menjalinkan kerjasama melawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Baru-baru ini, Pakatan dilaporkan menjemput semua parti pembangkang hadir di Konvensyen Pakatan Harapan pada November 12.

Zaid bagaimanapun menyelar sebarang usaha mendekati PAS sebagai “terdesak”.
“Saya tidak pernah melihat sekumpulan ahli politik yang oportunis dan terdesak sehingga sanggup mahu sebuah parti yang mahu pentadbiran menggunakan nama agama,” kata Zaid.
Selasa lalu, Hadi berkata partinya masih terbuka menjalinkan kerjasama dengan pembangkang lain memastikan pertandingan satu-lawan-satu menentang BN.
Kenyataan itu berlawanan dengan ketegasan beliau yang tidak mahu lagi “mengulangi kesilapan” bekerjasama dengan DAP.
Pakatan dan sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia berulang kali menyeru supaya pembangkang tidak bertembung pada pilihan raya umum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA