Rabu, 30 November 2016

Zahid, seruan Allah SWT ialah 'amal makruf nahi mungkar' bukannya 'amal mungkar nahi makruf'

Ramai yang meminta saya untuk memberikan komen tentang seruan Ahmad Zahid  Hamidi kepada semua orang Umno untuk setia kepada Najib kerana Najib memegang jawatan Perdana Menteri itu adalah ketentuan Allah SWT. Katanya kita semua mesti setia kepada Najib kerana yang meletakkan Najib sebagai Perdana Menteri itu adalah Allah SWT.
Saya tidak berapa berani untuk membuat komen ini bukan kerana takut kepada kritikan yang datang dari orang yang jujur dan berilmu kerana jika kita mendapat kritikan dari yang berilmu kita akan mendapat pelajaran dan pengajaran yang baik yang boleh kita gunapakai dan amalkan. Yang saya takut ialah kritikan dari mereka yang tidak memahami asal kejadian kita dan kenapa kita di hidupkan oleh Allah SWT di dunia ini.
Saya membaca tulisan A Kadir Jasin dan saya bersetuju dengan pandangan dan pemahaman beliau. Hanya saya ingin menokok tambah apa yang saya rasakan perlu untuk memberikan pencerahan kepada Zahid yang nampaknya menggunakan Allah sebagai modal politik beliau dalam PAU kali ini.
Sebenarnya kita di hidupkan didunia ini hanya kerana satu sebab sahaja, iaitu untuk mengESAkan Allah SWT. Tidak ada sebab yang lain. Tuhan hidupkan kita bukan untuk meletakkan Najib sebagai PM semata-mata atau menjadikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang memberikan ketaat setiaan 101 peratus terhadap Najib, ATAU pun dijadikan saya sebagai seorang pengkitik Najib bersama sama dengan yang lain terutamanya Dr Mahathir Mohamed.
Tuhan jadikan kita bukan semata-mata untuk menyokong mereka yang mencuri wang rakyat dan menipu orang ramai dengan berbagai-bagai muslihat. Tuhan tidak menjadikan Apandi Ali untuk melindungi kesalahan pimpinan yang melakukan kezaliman terhadap orang yang mereka pimpin.
Zahid sepatutnya tahu yang kita dijadikan oleh Tuhan untuk mengESAkanNya dengan melawan kezaliman dan tunduk kepada perintahNya dengan luhur dan jujur. Tuhan merupakan empunya segala-galanya dan apa-apa yang dijadikanNya itu untuk menduga sejauh mana kesetiaan kita terhadap keESAanNya. Kita di duga sama ada kita sanggup berkorban untukNya dari waktu kita lahir sampailah ke akhir kalam.
Kita di duga sama ada kita terpedaya dengan tindakan pimpinan dan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan terhadap Allah dengan memberikan sokongan terhadap mereka yang melakukan kemungkaran dan kemurkaan Allah itu. Zahid perlu tahu yang menentang Najib ini pun adalah mereka yang dijadikan Tuhan untuk menentang kerana mereka mahu menolak memerangi kemungkaran yang dilakukan oleh mereka yang dijadikan Tuhan untuk menduga ketaat setiaan mereka terhadapNya. Bukan begitu Zahid?

Tetapi tidak menjadi perkara yang menghairankan di akhir zaman ini terlalu ramai pengikut Abdullah bin Ubai dikalangan pemimpin yang memberikan sokongan palsu kepada pemimpin yang mereka geruni. Siapa Abdullah bin Ubai ini, pandai-pandailah mengenali siapa dia itu.Saudara tahu siapa Abdullah bin ubai tetapi kenapa saudara masih bersikap seperti dia itu?
Pendeknya kita kena fikir dengan akal anugerah Tuhan yang kita ini digerakkan Tuhan untuk melakunkan plot yang menduga atau di duga. Kita boleh menjatuhkan hukum bagi mereka yang menjadi penduga itu kerana kita semua tahu apakah yang akan mereka perolehi dari lakunan sebagai pencuri-pencuri dan penjenayah kepada umat itu.
Yang lebih teruk dan hebat bencana yang mereka perolehi ialah mereka yang menyokong dan mempertahankan kemungkaran dalam hidup ini. Dosa-dosa ini melibatkan dosa-dosa yang berkaitan dengan hablumminannas.
Pandangan saya mungkin disalahkan oleh setengah pihak tetapi  di yaumil mahsyar jugalah tempat penentuannya. Yang penting bagi kita jangan kita berdakwah yang kemungkaran dengan pencuri dan melakukan jenayah itu adalah kehendak Tuhan dan perlu di pertahankan dan memberikan ketaat setiaan kepada mereka. Sifat menggalakan kemungkaran itu adalah sifat mustahil bagi Allah SWT, pencipta alam semesta itu. Yang Allah SWT seru ialah perjuangan 'amal makruf nahi mungkar', bukannya 'amal mungkar nahi makruf'.
Agama kita menganggap mereka yang makan rasuah itu sama seperti mereka yang makan daging saudaranya sendiri, saudara Zahid! 
Sekian saudara Zahid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA