Rabu, 2 November 2016

Zahid: Polis larang Baju Merah, Bersih 5 protes di Dataran Merdeka

Zahid berkata, keputusan itu dibuat kerajaan dan polis bagi mengelakkan pertembungan antara kedua-dua kumpulan terbabit.
zahid-hamidi-polis-merah-bersih
KUALA LUMPUR: Polis hari ini menolak permohonan penganjur Bersih 5 dan gerakan Baju Merah untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, pada 19 November ini, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan pertembungan antara kedua-dua kumpulan terbabit.
“Memang benar penganjur Bersih memohon keizinan polis 10 hari sebelum perhimpunan itu diadakan seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman.
“Tetapi, Dataran Merdeka tidak termasuk dalam senarai tempat perhimpunan yang diizinkan.
“Seperti kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, DBKL tidak mengizinkan tempat itu digunakan kerana ia tidak digazetkan sepertimana dalam Akta Perhimpunan Aman,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Mhd Amin Nordin hari ini dilaporkan berkata, Dataran Merdeka adalah kawasan larangan bagi penyokong Bersih dan Baju Merah, selepas permohonan kedua-dua kumpulan itu ditolak DBKL.
Zahid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat keputusan DBKL perlu dipatuhi dan menasihatkan kedua-dua kumpulan itu tidak berhimpun pada 19 November nanti.
Menteri dalam negeri itu berkata, tindakan sewajarnya akan diambil polis, jika Bersih dan Baju Merah berkeras meneruskan perhimpunan.
Semalam, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mengumumkan perhimpunan Bersih 5 akan diadakan jam 10 pagi hingga 6 petang, 19 November ini.
Peserta akan berhimpun di Dataran Maybank, Jalan Bangsar dan Masjid Negara, sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA