Ahad, 27 November 2016

Zahid: Najib, Hadi hadir himpunan 4 Dis prihatin nasib Rohingya

Timbalan perdana menteri turut menggesa pemimpin parti lain seperti PKR dan Amanah supaya menyertai perhimpunan itu yang lokasinya akan ditetapkan kelak.
zahid-najib-hadiKUALA LUMPUR: Satu perhimpunan besar-besaran dirancang diadakan 4 Disember depan bagi menzahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia berhubung isu Rohingya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perhimpunan akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin lain seperti Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Zahid menggesa pemimpin parti lain seperti PKR dan Amanah supaya menyertai perhimpunan itu yang lokasinya akan ditetapkan kelak.
“Kita ketepikan perbezaan politik dan sebagai umat Islam kita berkumpul bersama-sama bagi menzahirkan rasa keprihatinan terhadap saudara Islam kita di Myanmar,” katanya.
Beliau berucap merasmikan majlis Malam Jalinan Kasih Suluh Budiman anjuran Persatuan Alumni Suluh Budiman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini malam tadi.
Zahid berkata dalam isu Rohingya, Malaysia melakukan tindakan melebihi negara lain termasuk memberi anak etnik Rohingya yang lahir di negara ini rekod kelahiran supaya mereka boleh menjalankan kegiatan menimba ilmu mengikut keperluan mereka.
“Tidak memperkecilkan negara lain, kita perlihatkan keprihatinan yang mendalam terhadap isu Rohingya ini kerana sebagai umat Islam kita akan rasa seperti cubit paha kiri paha kanan (turut) terasa, apatah lagi jika mereka ditimpa kesusahan,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat Malaysia menyumbang kepada tabung bagi membantu masyarakat Rohingya yang dianiaya.
Zahid berkata Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada kerajaan Myanmar bagi menuntut keprihatinannya berhubung dakwaan penindasan terhadap masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine.
“Mesyuarat Kabinet buat keputusan nota bantahan akan dihantar kepada kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.

“Menurut piagam yang ada memang kita tidak boleh mencampuri urusan dalaman negara lain, tetapi kita mahu beritahu rakyat Malaysia mahu kerajaan Myanmar mengambil langkah prihatin terhadap rakyat Rohingya di Myanmar,” katanya.
Mengenai desakan penarikan semula Hadiah Nobel Keamanan kepada ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, Zahid berkata ia akan dibincangkan pada pertemuan 4 Disember ini.
“Jika seseorang yang dianugerahkan hadiah itu tidak lagi boleh mengekalkan keamanan, ia (pemberian) masih boleh dipertikaikan,” katanya.

2 ulasan:

  1. Mengapakah usul untuk mengutuk kekejaman oleh Rejim Myanmar terhadap Rohingya ditolak oleh Speaker Parlimen? Alasannya adalah kerana usul tersebut bertentangan dengan peraturan dewan dan boleh merosakkan hubungan antara Malaysia dengan Myanmar.

    Sekarang Najib, Zahid dan Hadi Awang boleh pula berhimpun beramai-ramai mengutuk Rejim Myanmar yang menindas umat Islam Rohingya, apakah perbuatan sebegini tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Myanmar lebih-lebih lagi pemimpin tertinggi kerajaan Malaysia terlibat dengan demontrasi mengutuk kekejaman rejim Myamnar itu?

    Inilah putar belit banyak sangat kelak akhirnya memakan diri sendiri.

    Sedarlah semua.

    Salam perjuangan A Ba Ta,

    Ikhlas daripada,

    Mohamad Faiz Hamzal Ismail
    Ahli Parti Pribumi BERSATU Malaysia Bahagian Jerlun
    Kedah Darul Aman

    BalasPadam
  2. Nak protes dgn cara menarik diri drpd perlawanan suzuki cup pun tak mampu. Tak payah lah. Lagi pun demonstrasi bukan budaya kita, kan?

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA