Rabu, 2 November 2016

Zahid Hamidi menggelabah diaju soalan derma RM2.6 bilion di Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR, 2 NOV: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini mengelak dan dilihat terpinga-pinga apabila diajukan soalan mengenai dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Gobind singhZahid sebelum ini mendakwa dana besar itu telah disumbangkan kepada Najib yang juga Menteri Kewangan oleh seorang penderma Arab berdarah raja sebagai usaha untuk mengekang fahaman Islam yang menyimpang daripada terus berkembang di negara ini.
Bagaimanapun, kenyataan itu telah disanggah dengan bukti kukuh oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang mendedahkan bahawa dana berbilion ringgit yang masuk ke akaun peribadi ‘MO1’ berpunca daripada penyelewengan dana syarikat milik negara 1MDB.
Individu ‘MO1’ atau ‘Malaysia Official 1’ yang disahkan sebagai Najib oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan, disebut sebanyak 36 kali dalam tuntutan saman yang dikeluarkan DOJ pada Julai bagi merampas aset yang terkait dana diseleweng daripada syarikat sarat hutang itu.
“Yang itu (soal derma RM2.6 bilion) kita telah serahkan hasil siasatan itu kepada pihak task force dan biarlah menteri kewangan kedua menjawab,” kata Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh sebagai menjawab celahan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
Sebelum itu, Gobind dalam sesi khas waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (QMT) mahu tahu sama ada siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan memandang terdapat percanggahan fakta dan kenyataan berhubung sumber dana RM2.6 bilion itu.
Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Gobind yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP menuntut supaya Zahid menyatakan sama ada kenyataan beliau mengenai derma itu tidak benar dan adakah satu siasatan semula perlu dijalankan.
Bagaimanapun, Zahid menggelak daripada menjawab persoalan berkenaan dan memberi jawapan pendek: “Saya rasakan apa yang saya nyatakan itu akan digulung oleh pihak yang berkenaan dan eloklah tajuk itu kita tukar kepada tajuk lain.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA