Rabu, 2 November 2016

Zahid elak jawab isu 1MDB, akui jumpa penderma

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengelak soalan wartawan ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan polis terhadap skandal 1MDB.
Sebaliknya timbalan perdana menteri itu berkata soalan berkenaan akan dijawab Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.
Beliau membuat kenyataan itu ketika penggulungan Kementerian Dalam Negeri pada sesi membahaskan belanjawan 2017 di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bertanya sama ada siasatan polis terhadap sumbangan bernilai RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah dibuka kembali apabila maklumat menunjukkan ia sebenarnya bukanlah derma.
Ia merujuk kepada beberapa dakwaan - termasuk oleh Jabatan Kehakiman AS - yang menyatakan dana itu bukan datang daripada bangsawan Arab sebaliknya berasal dari 1MDB.
Gobind juga meminta menteri menjelaskan sam ada sebahagian daripada dana dipulangkan semula kepada 'penderma' seperti didakwa Najib.
Mengenai permintaan Gobind supaya Zahid menjelaskan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau bertemu dengan penderma terbabit, anggota parlimen Bagan Datok itu sekali lagi membuat penegasan sama.
"Saya mengadakan pertemuan dengan kedua-dua sumber itu yang mengatakan begitu (memberi derma)," katanya.
Zahid juga menyatakan beliau sudah memberi penjelasan kepada pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA