Ahad, 20 November 2016

Yang berjaya, gagal dan gitu-gitu di BERSIH5

BERSIH5 pun akhirnya berlalu tanpa banyak insiden yang besar dan boleh menjadi bahan pelengkap sembang orang ramai, dari kedai kopi sehingga ke kumpulan sembang WhatsApp.
Geger yang berlaku menjelang 19 November kekal sebagai geger saja. Bagaikan guruh yang tidak membawa hujan lebat, apa lagi banjir.
Namun adakah BERSIH5 gagal total?
Berikut adalah analisis ringkas mengenai kejayaan himpunan dihadiri kira-kira 41,000 orang semalam.
* Mencetuskan diskusi intelektualisme
Hanya kira-kira sejam selepas BERSIH5 diumum berakhir, polemik pun mula merancak dalam kumpulan WhatsApp.
"Hang rela ka Cina pegang kuasa?" kata seorang bekas pengarang yang kini tidak lagi berada bersama syarikat akhbar arus perdana.
Soalan serius itu disambut jawapan main-main oleh anggota lain dalam kumpulan WhatsApp berkenaan yang kebanyakannya disertai pesara wartawan.
Sebahagian besar daripada mereka adalah bekas wartawan atau penyunting kanan akhbar arus perdana.
"Umno punya modal main takut-takutkan Cina berkuasa. Tu yang Najib pi China 'jual' segala khazanah Melayu kat China komunis tak bising pun.." jawab seorang yang lain. Masih dalam WhatsApp sama.
Ya, BERSIH5 berjaya membuka mata kita bahawa selepas hampir 60 tahun merdeka, polemik tentang siasah, ekonomi dan sosial masih terperangkap dalam kandang yang itu-itu juga.
Kita masih bersoal jawab tentang curiga Melayu kepada Cina, dan wasangka bukan Melayu kepada Melayu.
Sambil-sambil itu kita ulang edar gambar-gambar lama mengenai himpunan BERSIH atau Patriot yang belum tentu tahap ketulenannya.
Pada masa yang diperlukan - misalnya untuk meraih sokongan kaum yang berbeza daripada kita - laungkanlah slogan keramat 1Malaysia.
* Retrospektif
Bangunan menara berkembar yang lebih mesra digelar KLCC yang terkepit di antara Jalan Ampang - Jalan Yap Kwan Seng bukan sesuatu yang asing kepada peserta BERSIH.
Sejak siri pertama himpunan itu KLCC sudah menjadi seakan sebati, sama ada sebagai pusat permulaan perarakan atau tempat pertemuan.
Selama juga begitu. Cuma uniknya salah seorang daripada mereka ialah tokoh yang pernah memiliki ruang pejabat di salah satu tingkat di menara berkembar berkenaan.
Tun Dr Mahathir adalah boleh dianggap sebagai 'otak' di sebalik terjelmanya menara yang pernah diiktiraf sebagai tertinggi di dunia.
Bukan sedikit bantahan dan kritikan dihujahkan ketika ia mula dibina. Tetapi kerajaan Dr Mahathir tegas dengan keputusan membina menara itu.
Semalam Dr Mahathir berada di luar menara kembar berkenaan. Jika ditakdirkan bangunan itu mampu berkata-kata atau memberi reaksi seperti manusia, apakah yang akan dilafazkannya?
Dalam suasana serba hangat dan bersesak-sesak itu juga kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sempat mengimbau kenangan empuknya kerusi di pejabat mereka suatu ketika dulu.
* Pembabitan budayawan
Selain Datuk A Samad Said, entah siapalah yang hadir menguatkan tuntutan reformasi pilihan raya bersama BERSIH semalam.
Tidak pernah penting, sebenarnya, sebab budayawan dan sasterawan kerjanya adalah berfikir tentang apa saja kecuali siasah. Kalau ada pun, biarlah ia hanya menjadi cakap-cakap kedai kopi atau status di media sosial.
Lagi pun untuk apa mencampuri politik dalam negara kerana keluh kesah rakyat biarkan saja ditangani ahli politik. Tambahan pula BERSIH adalah tentang politik.
BERSIH5 mungkin hanya 'agenda Cina' orang atau 'campur tangan George Soros'
Di negara ini sesiapa saja yang bukan menyokong kerajaan wajib dilabel sebagai pembangkang. Sasterawan dan penulis mana boleh membangkang.
Justeru BERSIH5 berjaya mengukuhkan kedudukan golongan itu sebagai kumpulan pemikir yang berjaya berfikir tentang apa-apa saja kecuali siasah yang boleh menyebabkan mereka nampak tidak bersama-sama penguasa.
* Baju Merah
Mereka mengotakan janji seperti dilafazkan Datuk Seri Jamal Md Yunos. Di mana ada baju kuning, di situ ada Baju Merah. Kadang-kadang mereka berkongsi tangga yang sama, atau koc LRT yang sama.
Di mana ada baju kuning, biasanya di situ ada baju merah.
Dianggarkan ada lebih 100,000 orang berbaju merah di sekitar Kuala Lumpur semalam, walaupun yang berarak dan berteriak-teriak itu mungkin hanya sekitar 1,000 hingga 4,000 orang.
Jamal menjanjikan 30,000 orang baju merah tetapi di sekitar Kuala Lumpur jumlah itu ternyata amat ramai. Cuma tidaklah semuanya menutup muka kerana sebahagian daripada orang berbaju merah itu berbaju merah kerana ia adalah pakaian seragam mereka di tempat kerja.
Seperti biasa tidak semua yang diingini, tercapai dalam BERSIH5. Ada beberapa kegagalan yang ketara semalam. Berikut adalah antaranya:
* Pertunjukan seni bela diri
Sepatutnya ia sudah tersusun dengan baik. Ia bermula dengan aksi yang 'bunga-bunga' yang sangat menjanjikan seperti aksi berhampiran pejabat Malaysiakini pada 6 November lalu.
Bukan mudah untuk menyaksikan bagaimana hebatnya seseorang memecahkan ketulan konkrit dengan kepala dan mematahkan batang kayu dengan badan.
Memanglah aksi itu kadang-kadang boleh ditafsir sebagai aktiviti memukul diri sendiri. Kadang-kadang ia kelihatan menghukum kawan-kawan, namun itulah uniknya seni bela diri.
Seni bela diri di tangan Baju Merah sangat unik dan menggerunkan.
Sepatutnya semasa BERSIH5 mereka mempamerkan aksi lebih hebat dan istimewa, seperti upacara mandi minyak panas atau bagi yang memiliki ilmu lebih tinggi, mereka mungkin boleh terbang dari satu stesen LRT ke stesen yang lain.

Bagi yang memiliki kemahiran ilmu ghaib pula, sekatan anggota keselamatan tentulah tidak menjadi masalah sama sekali.
Bagaimanapun kebanyakan mereka akhirnya mempamerkan kemahiran ilmu ghaib itu selepas tengah hari.
Di beberapa lokasi - termasuk di Padang Merbuk - menjadi sunyi tiba-tiba. Kelibat Baju Merah bagaikan boleh dihitung dengan jari ketika peserta BERSIH5 masih berjemur di bawah terik matahari.
* Tiada pancutan air, gas pemedih mata
Bagi sesetengah peserta, demonstrasi adalah waktu untuk menjadi 'lebih berani' atau sekurang-kurangnya menguji keberanian.
Terikat dengan kenangan BERSIH yang sudah-sudah, semalam mereka mengharapkan anggota keselamatan bertindak seperti yang dibayangkan - ada aksi kejar-kejaran, pancutan air dari trak Unit Simpanan Persekutuan dan angin yang membawa bahan kimia memedihkan mata serta menyesakkan pernafasan.
Tidak sedikit yang turun ke jalan raya membawa garam semalam.
Namun anggota keselamatan kekal dengan sikap yang terpuji. Tiada kekasaran atau kekerasan. Provokasi itu memang adalah. Biasalah, kanak-kanak itu nakalnya tetap ada. Cuma Polis Diraja Malaysia membuktikan mereka boleh bersikap profesional dan berkepala dingin.
* Soros
Entahlah jika ia tidak dilaporkan tetapi rasanya isu sumbangan hartawan George Soros tidak diungkit-ungkit semalam.
Ia tentulah berbeza ketika menjelang himpunan BERSIH5 apabila 'lagu' mengenai Soros didendangkan dari semasa ke semasa.
Mungkin disebabkan terlalu ramai maka anggota kumpulan Baju Merah terlupa untuk membangkitkan isu berkenaan kepada masyarakat di negara ini. Atau mungkin juga mereka menyedari orang ramai sudah faham apa yang mereka perkatakan.
* Jamal
Ia antara kekurangan paling ketara. Ditahan pihak berkuasa kelibat ketua Umno Sungai Besar itu memang tidak dapat disaksikan sepanjang BERSIH5 berlangsung.
Ia tentu suatu kerugian amat besar kepada orang ramai, termasuk orang yang tidak menyertai himpunan semalam.
Jamal adalah 'selebriti' yang tersendiri. Ketika aksi beliau mengenai cubaan melelong 'tapak perniagaan' di kawasan perumahan Datuk S Ambiga masih segar, tahun ini beliau muncul dengan idea lebih baru dan segar.
Tahun ini Jamal dikaitkan dengan janji "parang terbang" sehingga mendorong Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan siasatan dijalankan ke atas beliau.
Jamal menafikan beliau membuat kenyataan mengenai insiden 13 Mei dan "parang terbang". Namun dugaan untuknya tidak berakhir di situ saja.
Jamal diuji pula dengan 'tumbukan terbang' di Ampang. Darah beliau 'tumpah' akibat kejadian itu. Setakat ini insiden berkenaan masih diselubungi misteri dan kita wajar membiarkan polis melengkapkan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Manusia merancang namun tuhan yang memutuskan - seperti lagu Datuk Jamal Abdillah, Takdir Penentu Segala. Namun apa pun kelibat Jamal pasti dirindui ramai.
Hari ini BERSIH5 menjadi kenangan. Apakah kesan yang dibawa himpunan itu adalah sesuatu yang perlu dinilai dengan secara terbuka.
Sementara mendapat rumusan yang menyeluruh kita bolehlah terus mewarnakan Ahad ini dengan lagu daripada kumpulan rock Denmark, Walkers.
Your heart goes
Sha-la-la-la-la, Sha-la-la in the morning
Sha-la-la-la-la, Sha-la-la in the sunshine
Sha-la-la-la-la, Sha-la-la in the evening
Sha-la-la-la-la, Sha-la-la-la-la just for you.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA