Rabu, 9 November 2016

‘Warkah Terbuka’ SPRM dicadang rujuk Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad dicadang untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, ketetapan berkenaan perlu dikemukakan selepas merujuk ‘Warkah Terbuka’ Dzulkifli berhubung dakwaan korup mengaitkan ahli politik dan badan kehakiman negara.

“Kita tidak tahu kenyataan tersebut ditujukan kepada sesiapa, sama ada Ahli Parlimen Barisan Nasional atau sebaliknya. Justeru wujud persoalan adakah institusi Parlimen ini korup?
“Beliau perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Khas ini dan menamakan individu korup itu sama ada individu tersebut adalah menteri atau MO1 (Malaysian Official One) sendiri,” kata pemimpin veteran DAP itu.
Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen pagi ini.
Susulan cadangan tersebut, Sidang Dewan gamat seketika apabila beberapa ahli Parlimen BN termasuklah anggota Parlimen Baling, Abdul Azzez Abdul Rahim menentang cadangan usul tersebut.
Dzulkifli menerusi warkah terbukanya mengingatkan supaya ahli politik dan badan kehakiman supaya tidak terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa.
“Jangan kamu khianati amanah rakyat. Jangan hanya mahu didendang dan dijulang di persada takhta, sedang pertimbangan dan kepentingan rakyat dibiar alpa.
“Segala janji yang ditaburkan, harus dijelmakan menjadi lebih dari sekadar harapan,” katanya menerusi Warkah Terbuka Buat Rakyat Malaysia sempena 100 hari berkhidmat menerajui SPRM.
Terdahulu, Dzulkifli menerajui SPRM selepas mengambil alir tugas daripada pendahulu sebelumnya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed bermula 1 Ogos 2016 lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA