Rabu, 30 November 2016

Wanita Amanah kecam tindakan tangkap Orang Asli pertahan hutan


Salah satu sekatan Orang Asli yang sebelum ini berjaya menghalang lori daripada terus mengangkut keluar balakSalah satu sekatan Orang Asli yang sebelum ini berjaya menghalang lori daripada terus mengangkut keluar balak
Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) mengecam penahanan Orang Asli oleh pihak polis dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) di sekatan (blockade) yang dibina oleh Orang Asli Kampung Petei, Gua Musang, Kelantan.
"Kami juga mengecam tindakan pihak berkuasa yang datang bersama-sama 27 pacuan empat roda JPNK dan 8 buah Land Rover Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Pos Kampung Petei semalam," kata Ketua Awan Dr. Siti Mariah Mahmud.
Kesemua Orang Asli yang dibawa ke lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang malam tadi akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk direman pada 8 pagi hari ini.
Mereka ditangkap ketika cuba mempertahankan blockade tersebut dalam operasi merobohkannya oleh pihak berkuasa.
Sebelum ini sebagai tindak balas blockade Orang Asal pihak berkuasa perhutanan negeri telah mengenakan blockade untuk menghalang kemasukan bekalan makanan dan perubatan kepada 33 perkampungan Orang Asal yang terlibat.

"Awan mengecam penangkapan terhadap saudara-saudara senegara kami yang berjuang mempertahankan tanah adat mereka daripada dicerobohi oleh kerajaan negeri yang mencanangkan membangun bersama Islam. Apakah Islam membenarkan perampasan tanah (dan hasil mahsul ) yang sudah lama di diami oleh orang asal ( dalam 33 buah kampung) ini?" soal Siti Mariah.
Awan juga mendesak Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Perhutanan Negara agar menjaga hak dan kebajikan tanah adat Orang Asli dan Hutan Simpan.
"Perkara 74 (2) Perlembagaan Malaysia jelas menyebut bahawa perhutanan ialah di bawah kuasa kerajaan negeri. Maka negeri perlu menggunakan budi bicara mereka untuk berunding dengan Orang Asal dan tidak menggunakan kekerasan ke atas mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA