Isnin, 21 November 2016

Wanita Amanah desak bebaskan Maria Chin

Solidaritiuntuk maria ChinSolidaritiuntuk maria Chin
Angkatan Wanita Amanah (Awan) Selangor mendesak Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) supaya dibebaskan segera.
Ketuanya Rawiyiah Zakaria berkata, tindakan mendakwa pemimpin gerakan menuntut pilihan raya adil dan bersih itu di bawah SOSMA yang mulanya dijanjikan hanya untuk pengganas adalah amat keterlaluan.
“Menempatkan seorang wanita berumur 60 tahun di suatu sel yang sangat kecil tanpa alas dan kemudahan asas lain merupakan tindakan zalim di luar batas kemanusiaan.
“Beliau hanyalah rakyat biasa yang memperjuangkan keadilan dan bukanlah teroris yang berniat mengancurkan negara apatah lagi menggulingkan kerajaan,” ujarnya dalam kenyataan bersama Naib Pengerusi Amanah Selangor, Ustazah Mariam Abdul Rashid hari ini.
Mereka turut menyifatkan Maria seorang wanita berjiwa besar, memimpin sebuah gerakan yang berjaya menghimpunkan sejumlah besar rakyat sivil yang secara demokratik mahukan perubahan dalam negara.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya penahanan Maria Chin Abdullah yang telah didakwa dengan kejam di bawah SOSMA Jumaat (18 Januari) lalu.
“Kami menggesa untuk masa terdekat ini agar beliau diberikan kemudahan asas yang sepatutnya beliau terima, termasuklah bantal, tilam, selimut, bahan bacaan, kemudahan tandas dan makanan yang berkhasiat.

“Kami khuatir kesihatan beliau akan merosot sekiranya beliau terus-menerus dibiarkan dalam keadaan sedemikian dalam tempoh tahanan yang panjang,” dipetik daripada kenyataan itu.
Sehubungan itu, mereka menyeru semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) khususnya golongan wanita bersolidariti dalam menyuarakan bantahan sehingga Maria dibebaskan seberapa segera.
Terdahulu, Maria dilaporkan ditahan dalam tempoh maksimum 28 hari bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), atau Sosma apabila ditangkap sehari sebelum berlangsungnya himpunan Bersih 5.
Walau bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen sebelum ini menyifatkan penahanan Maria di bawah Sosma yang membenarkan penahanan 28 hari tanpa bicara itu sebagai “sangat berat”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA