Jumaat, 4 November 2016

Wan Azizah sambut baik Dr M hadir Parlimen bincang kuasa imuniti

Mesyuarat ahli pembangkang akan diadakan Selasa depan, susulan sisatan ke atas beberapa wakil rakyat pembangkang yang membangkitkan skandal 1MDB di Dewan Rakyat
Dr Mahathir MohamadSHAH ALAM: Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut baik kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke Parlimen pada Selasa ini dalam mesyuarat ahli Parlimen pembangkang.
Mesyuarat itu dilaporkan bagi membincangkan kuasa imuniti dalam Parlimen berkaitan siasatan ke atas beberapa ahli Parlimen pembangkang yang membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa perbahasan di Dewan Rakyat.
“Baguslah,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.
Terdahulu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata ahli-ahli Parlimen pembangkang akan mendapatkan pandangan Dr Mahathir mengenai kuasa imuniti dalam Dewan Rakyat.
“Kita akan mengadakan perbincangan dengan bekas dan ahli Parlimen. Mereka akan datang pada Selasa depan untuk berbincang mengenai strategi dan langkah seterusnya.
“Saya dah bercakap dengan Dr Mahathir dan tanya pendapatnya. Beliau (Dr Mahathir) akan hadir,” kata Kit Siang pada sidang media di Parlimen.
Sebelum ini polis berkata akan menyiasat kenyataan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan membocorkan rahsia kerajaan ketika perbahasan di Dewan Rakyat.
Muhyiddin 2 hari lalu memberitahu beliau dipanggil pihak polis, sementara Husni yang juga bekas menteri kewangan 2 terpaksa menangguhkan sesi memberi keterangan kepada polis sehingga minggu hadapan.
Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan termasuk 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA