Sabtu, 19 November 2016

Wan Azizah: Rakyat derita, Najib pula nyanyi ‘Shalala Lala’

Beliau sempat menggelek seperti Najib, menyebabkan hadirin tertawa.
wan-azizah
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan kegetiran nasib rakyat kebanyakan.
Beliau sempat mempersendakan video yang memaparkan Najib menyanyi dan menari lagu “Shalala Lala” bersama Presiden Filipina Rodrigo Duterte.
“Wahai perdana menteri, kita semua sedang merana, tapi kamu masih menyanyi lagu ‘Shalala Lala’,” katanya sambil menggelek seperti Najib, lalu mengundang gelak tawa hadirin.
“GST, harga minyak menyebabkan kita menderita, tapi kamu berseronok di China, kemudian Jepun dan sekarang Peru.”
Najib sedang dalam lawatan kerja ke Lima, Peru, bagi menghadiri mesyuarat ketua-ketua negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Pembangkang menggambarkan lawatan Najib ke beberapa negara sebagai usaha untuk menyelamatkan kerugian yang ditanggung akibat dakwaan penggelapan dana 1Malaysia Development Berhad.
Gambaran itu diulang beberapa kali hari ini, dalam himpunan yang mendesak Najib meletak jawatan.
Wan Azizah memulakan ucapannya petang tadi dengan menyampaikan salam suaminya, Anwar Ibrahim, kepada penunjuk perasaan.
Beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru pembebasan suaminya, serta aktivis-aktivis lain yang ditahan hari ini dan semalam termasuk Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.
Maria ditahan dalam satu operasi anti-rusuhan. Beliau ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA