Isnin, 14 November 2016

Wan Azizah gesa Najib dedah laporan audit mengenai skandal 1MDB

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan laporan penuh ketua audit negara mengenai 1MDB yang diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi.
"Saya sekali lagi menggesa Datuk Seri Najib Razak untuk menunjukkan keberanian dan membenarkan laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dikeluarkan dari klasifikasi rahsia rasmi, lebih-lebih lagi kerana beliaulah yang mengarahkan ketua audit negara mengklasifikasikan laporan tersebut di bawah OSA," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau membuat gesaan tersebut berikutan keputusan mahkamah sesyen menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli di bawah OSA.
Rafizi didakwa memililiki 98 mukasurat laporan ketua audit negara tanpa kebenaran yang melanggar Seksyen 8 (1) (c) (iii) OSA.
Mahkamah Sesyen bagaimanapun menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Menyifatkan ia hari yang cukup sedih buat demokrasi Malaysia, Wan Azizah berkata Rafizi dihadapkan ke mahkamah kerana mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.
Menurutnya, negara lain seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland telahpun mengambil tindakan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan langsung dengan penyelewengan 1MDB.
"Tanpa laporan penuh Ketua Audit Negara ini, Parlimen tidak dapat membincangkan dapatan dan syor serta mengenalpasti bagaimana sejumlah wang yang sangat besar telah berjaya diseleweng beberapa pihak," katanya.

Menurutnya lagi, keengganan Putrajaya mengeluarkan laporan tersebut daripada klasifikasi rahsia rasmi hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa kerajaan tidak mahu kebenaran diketahui umum.
Bagaimanapun katanya, seluruh anggota pimpinan PKR tetap berdiri teguh dan mempertahankan Rafizi daripada tuduhan berkenaan.
"Saya mendoakan agar saudara Rafizi dan keluarga diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi dugaan yang cukup mencabar ini," ujarnya.
Najib sebelum ini berulangkali menafikan menyalahgunakan wang 1MDB dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali turut membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan salahlaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA