Selasa, 22 November 2016

Wan Azizah: Demokrat dipenjara, sang kleptokrat bermaharajalela

Lebih ramai lagi aktivis dan pimpinan pembangkang bakal ditahan selepas penganjuran perhimpunan aman Bersih 5, 19 November lalu, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengeluarkan senarai panjang nama individu terdiri daripada aktivis, mahasiswa dan ahli-ahli politik bakal ditahan.

“Para demostran berhimpun dan berarak secara aman walaupun keselamatan mereka diancam kumpulan baju merah dan perjalanan mereka disekat pihak berkuasa.
“Sekali lagi pemerintah gagal menghormati hak bersuara dan berhimpun dengan aman seperti termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan.
“Begitulah keadaan di negara kita ini, para demokrat dipenjara, sang kleptokrat bermaharajalela,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, polis menahan beberapa individu termasuklah Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menjelang berlangsungnya perhimpunan tersebut.
Selain Maria, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin turut ditahan sehari sebelum perhimpunan aman berlangsung.
Zuraida dan Tian dibebaskan dengan jaminan polis 21 November lalu, bagaimanapun Maria masih ditahan dalam tempoh maksimum 28 hari dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA