Khamis, 10 November 2016

Walau Donald Trump menang, saman 1MDB harap diteruskan


Faiz Fadzil Faiz Fadzil Kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) diharap tidak memberikan kesan kepada saman Jabatan Kehakiman (DoJ) untuk menyita dan merampas segala aset yang diseleweng dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.
 “Walaupun nama Perdana Menteri tidak disebut dalam saman tersebut, namun nama MO1 (Malaysian Official 1) yang disebut sebanyak 132 kali dalam saman itu adalah Perdana Menteri yang didakwa menerima wang RM2.6 bilion daripada jenayah pengubahan wang haram yang dicuri daripada wang 1MDB,” ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.
Beliau berkata, Najib Razak bukanlah Perdana Menteri kegemaran rakyat Malaysia walaupun Donald Trump menyatakan bahawa Najib adalah rakan bermain golf dan Perdana Menteri kegemarannya.
“Rompakan wang 1MDB oleh Najib Razak dan kroninya bukan sahaja perbuatan jenayah berskala besar, malahan telah mencemar nama baik negara di mata dunia.
“Pemerintahan kleptokrasi ini telah menekan hidup rakyat yang terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi akibat GST (cukai barang dan perkhidmatan), namun Perdana Menteri, isteri dan anaknya berbelanja mewah berbilion ringgit hasil rompakan wang 1MDB,” bidasnya.
Sehubungan itu, Faiz yang juga peguam berharap saman tersebut akan diteruskan oleh pihak DoJ manakala kerajaan baharu Donald Trump tidak menggangu prosiding saman tersebut kerana rakyat negara ini adalah 'stakeholder' kepada saman tersebut.

“Rakyat Malaysia tidak boleh lagi berharap kepada institusi penguatkuasa undang-undang negara ini seperti pihak polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Peguam Negara yang kini hanya membisu dalam skandal 1MDB.
“Sebaliknya, tindakan undang-undang pula yang diambil terhadap pengkritik -pengkritik skandal 1MDB sehinggakan ahli parlimen yang membangkitkan isu ini menjadi satu kesalahan. Akibat 1MDB ini, hak bersuara dan hak keistimewaan parlimen telah terhakis,” tegasnya lagi.
Jutawan hartanah Donald Trump dari Parti Republikan menang sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 dengan meraih 289 undi badan perwakilan pemilih berbanding Hillary Clinton dari Parti Demokrat yang sekadar memungut 218 undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA