Rabu, 23 November 2016

USUL AKTA 355 HANYA DIBACA, TIDAK DIBAHAS, TIDAK DIUNDI - IKHLASKAH UMNO KEPADA PAS?

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi akhirnya memberi jaminan usul persendirian Hadi Awang berkaitan Akta 355 untuk memperkasa mahkamah syariah akan dibentangkan sama ada pada Rabu atau Khamis ini.

Selaku Ketua Whip BN, Zahid juga semalam menganjurkan sessi taklimat kepada Ahli-Ahli Parlimen berhubung usul tersebut.

Tetapi berdasarkan suara-suara yang kedengaran di Parlimen, kebarangkaliannya ialah Hadi akan diberi ruang untuk membentangkannya pada Khamis iaitu hari terakhir sessi Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

Adakah usul itu tersebut selepas dibentang oleh Hadi akan dibahas dan kemudian diundi untuk ditentukan sama ada diluluskan atau sebaliknya?
Sebenarnya tidak.

Seorang Ahli Parliman Pas, Dr. Nik Maizan Nik Mohamad dari Pasir Puteh sendiri mengesahkan bahawa dalam taklimat yang dihadirinya bersama Zahid semalam bahawa usul tersebut hanya dibentangkan untuk kelulusan bagi bacaan kali pertama saja.

Ia kemudian, katanya, akan diangkat oleh kerajaan untuk dibahaskan pada  sessi Parlimen tahun hadapan.

Membawa usul tersebut untuk dibahaskan pada tahun hadapan tidaklah mengejutkan, malah bersesuaian dengan pengumuman Zahid mengenai pembentukan sebuah jawatankuasa pemilihan bagi tujuan memberi penjelasan terperinci berhubung pindaan akta tersebut.

Saya sendiri akan membawa kepada kabinet untuk mendapat persetujuan tentang cadangan penubuhan jawatan itu, kata Zahid lagi.

Persoalan yang timbul di sini ialah mengapa hanya sekarang baru dicadangkan penubuhan jawatankuasa pemilihan untuk memberi penjelasan itu sedangkan Hadi telah diberi kebenaran membentangkan usul persendirian itu buat kali pertama pada Mei lagi?

Kenapa jawatankuasa itu tidak ditubuhkan sebelum ini lagi jika benar pindaan Akta 355 itu mahu dilulus dan dilaksanakan?

Kenapa tiba-tiba hanya sekarang?

Adakah hanya setelah Hadi Awang baru-baru ini mengatakan Pas sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi tujuan satu lawan satu menentang BN, maka baru UMNO dan kerajaan tergerak hati untuk memulakan langkah menggerakkan usul persendirian Presiden Pas itu?

Dalam pada itu, berapa lama pula jawatankuasa pemilihan itu akan selesai melaksanalan tugas dan puas hati dalam memberi penjelasan?

Apakah mungkin perbahasan dan pengundian usul Akta 355 itu sempat dibawa pada sessi Parlimen pertama tahun depan yang dijangka pada Mac atau akan dianjak lebih lewat daripada itu?

Atau penubuhan jawatankuasa itu merupakan satu lagi helah untuk menangguhkan perbahasan dan pengundian Akta 355 itu, tetapi dalam masa yang sama merupakan senjata UMNO untuk menjauhkan  Pas daripada terus mengadakan rundingan kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain untuk matlamat satu lawan satu?
Tidak mustahilkah sehingga tibanya tarikh PRU 14  pun, perbahasan dan pengundian hanya angan-angan?

Apakah Najib dan UMNO benar-benar sanggup memberi ruang untuk Akta 355 itu didebat dan diluluskan sedangkan MCA, MIC, Gerakan, PBB, PBS dan beberapa parti lain sentiasa berkeras menolaknya?

Jika didebat dan dilakukan undian pula,  apakah semua Ahli Parlimen UMNO sedia menyokongnya di ketika mereka tahu rakan-rakan bukan Islam yang selama ini bersama mereka tetap menolak usul itu?

Akhirnya, ikhlaskah UMNO dalam soal Akta 355 yang pihak bukan Islam percaya ia merupakan laluan ke arah hudud atau Pas bakal terpedaya lagi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA