Khamis, 17 November 2016

Universiti Monash perlu jelas larangan pelajar sertai himpunan, kata peguam

Peguam hak asasi manusia terkejut dengan amaran Monash kepada pelajarnya, yang mereka akan dihukum jika didapati menyertai perhimpunan haram.
eric-paulsen-monash-u-1
PETALING JAYA: Seorang peguam hak asasi manusia berkata beliau terkejut dengan pendirian diambil sebuah institusi pengajian tinggi swasta tempatan kerana menghalang pelajar daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan dan menuntut pihak universiti menjelaskannya.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen merujuk kepada amaran Universiti Monash Malaysia kepada pelajar yang mereka akan dihukum jika didapati mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.
Paulsen berkata ia “mengejutkan” bagi sebuah universiti swasta mengambil pendirian tegas sama seperti dengan universiti awam.
“Monash adalah sebuah universiti swasta dan tidak terhutang budi kepada kerajaan. Ia juga tidak menyokong dasar-dasar kerajaan dalam apa-apa cara yang partisan.
“Saya benar-benar tidak pasti mengapa ia mengambil pendirian ini dan pertama kali saya mendengar kes sedemikian.”
Beliau mempersoalkan bagaimana kampus di Malaysia boleh mengambil dasar seperti itu apabila ia “jelas” tidak seiring dengan dasar-dasar di kampus utamanya di Australia.
“Saya rasa Monash perlu menjelaskan mengapa mereka mengeluarkan arahan sedemikian dan sama ada ia konsisten dengan dasar-dasar Monash di Australia. Dasar tersebut tidak wujud di Australia.”
Beliau berkata, memandangkan Monash mempunyai program Undang-Undang, Sains Sosial dan Dasar Awam, seharusnya ia turut mempunyai modul mengenai hak-hak asasi manusia dan kebebasan asasi manusia.

“Saya amat mengambil berat tentang apa yang diajar kepada pelajar Monash. Adakah mereka mengatakan pelajar tertakluk kepada undang-undang menindas di negara-negara tertentu yang menindas dan mereka tidak perlu mengamalkan hak asasi? Kerana itulah seolah-olah yang Monash cuba katakan.”
Bersih 2.0 menganjurkan perhimpunan Bersih 5 yang dijadualkan berlangsung di beberapa jalan di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Polis mengumumkan Bersih 2.0 tidak mempunyai permit untuk menganjurkan perhimpunan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA