Isnin, 14 November 2016

Undang-undang bukan untuk lindungi jenayah 1MDB


Faiz FadzilFaiz FadzilHukuman penjara 18 bulan yang dikenakan ke Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) adalah petanda keadilan sistem undang-undang negara semakin terhakis, tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil.
“Pendedahan YB Rafizi tentang wujudnya penyelewengan dan salah urus tadbir 1MDB (1Malaysia Development Berhad) melibatkan elemen-elemen jenayah. Maka, beliau harus dilindungi undang-undang bukannya undang-undang diguna bagi melindungi jenayah 1MDB,” tegasnya kepada Malaysia Dateline hari ini.
Menurutnya, kerajaan harus menggunakan undang-undang untuk membongkar skandal 1MDB yang diketahui dunia bersabit dengan pelbagai perbuatan jenayah dengan mengheret mereka terbabit ke muka pengadilan termasuk Malaysian Official 1 (MO1).
“Amatlah malang bagi masa depan negara jika jenayah boleh dilindungi dan ini memberikan contoh teladan yang tidak baik bagi generasi akan datang bahawa undang-undang hanyalah plastik yang boleh dikorupkan.
“Apa yang didedahkan oleh YB Rafizi melibatkan kepentingan awam memandangkan skandal 1MDB melibatkan kehilangan berbilion ringgit wang negara yang hutangnya ditanggung oleh rakyat negara ini,” jelasnya yang juga merupakan peguam.
Sehubungan itu, Faiz menyeru seluruh rakyat menyokong perjuangan Rafizi dengan menebus ketidakadilan di sebalik keputusan mahkamah hari ini melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Rakyat harus menjulang perjuangan YB Rafizi yang berani mengambil risiko pemenjaraan untuk melawan korupsi. Jangan biarkan pengorbanan wira rakyat ini sia-sia.
“Mesej yang ingin disampaikan dalam keputusan ini adalah jelas bahawa kezaliman dan ketidakadilan Umno-BN perlu dihentikan,” tegasnya lagi.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Rafizi, 39, yang juga Setiausaha Agung PKR selepas didapati bersalah atas tuduhan memiliki dan mendedahkan satu halaman Laporan Pengauditan 1MDB, Mac lalu.
Hakim Zulqarnain Hassan bagaimanapun membenarkan permohonan Rafizi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tersebut sementara menunggu rayuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA