Rabu, 30 November 2016

'Umno rugi tapi mampu biayai ibu pejabat baru?'

DAP hari ini mempersoalkan bagaimana Umno mampu untuk membiayai rancangannya untuk membangunkan Pusat Dagangan Dunia KL Putra (KL PWTC) yang bakal menjadi ibu pejabat baharu parti itu.
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata, pihaknya mempersoalkan rancangan besar itu setelah laporan kewangan Umno berada dalam keadaan tidak memuaskan.
Nga yang juga ahli Parlimen Taiping memetik laporan The Malaysian Insider sebelum ini yang mendakwa bagi tahun berakhir 2014, parti itu mengalami kerugian sebanyak RM30 juta.
"Sebagai parti politik terbesar di Malaysia yang juga mengawal jentera dan sumber kerajaan, mereka pastinya tertakluk kepada penelitian awam lebih besar," ujar Nga dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis pecah tanah pembangunan KL PWTC berkata, bangunan menara setinggi 70 tingkat itu dibangunkan sempena 70 tahun usia Umno.

Kata beliau, kerja-kerja fizikal dijadual akan dimulakan pada 11 Mei 2017 bersempena tarikh kelahiran Umno dan menjadi mercu tanda ikonik Kuala Lumpur dengan menampilkan persekitaran bersepadu merangkumi hotel, pejabat 70 tingkat dan dewan baharu selain sebuah masjid yang boleh menampung sebanyak 5,000 jemaah.
Dengan pembinaan ibu pejabat baharu itu, Dewan Tun Razak sedia ada akan dijadikan dewan dua tingkat manakala Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail dinaik taraf sebagai pusat urusan perniagaan setempat serta acara korporat.
Tema seni bina projek transformasi itu diilhamkan daripada pakaian tradisional Melayu yang diambil daripada corak dan lipatan unik pada samping, lok keris serta ukiran hulu keris.
“Ia adalah lambang kesetiaan, keikhlasan dan semangat anggota Umno dalam memartabatkan perjuangan orang Melayu,” tambah Najib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA