Khamis, 24 November 2016

Umno, PAS tidak terkejut hasrat Ibrahim Ali bertanding PRU14

Kedua-dua parti itu yakin Ibrahim Ali tidak mampu memenangi kerusi Parlimen yang dihajatinya kerana sejarah membuktikan rakyat Kelantan tidak menerima calon bebas.
Ibrahim-AliPETALING JAYA: Umno dan PAS yakin hasrat Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak akan mampu menggugat kedua-dua parti itu.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Hanafi Mamat menganggap ia hanya sekadar angan-angan yang tidak akan tercapai kerana rakyat Kelantan menganggap Ibrahim sudah tidak relevan untuk mewakili mereka.
“Hasrat Ibrahim mahu bertanding di Parlimen di Kelantan bukan perkara mengejutkan, malah ia langsung tidak menjadi cabaran kepada Umno.
“Mengikut sejarah, Ibrahim sudah tidak relevan bertanding di Kelantan kerana suasana politik di negeri ini sudah berbeza. Generasi yang menyokong Ibrahim sudah berlalu,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ibrahim membayangkan beliau mungkin kembali bertanding di kerusi tradisinya, Pasir Mas pada PRU14.
“Saya akan bertanding kembali di Pasir Mas, mungkin juga Rantau Panjang, di Kelantanlah (sebagai calon Bebas). Tiada kena-mengena dengan Perkasa,” katanya.
Hanafi yang juga ketua Umno Bahagian Pasir Mas berkata, berdasarkan sejarah politik di Kelantan belum ada calon bebas memenangi pilihan raya di negeri itu.

“Beliau sebelum ini menang pun atas tiket Barisan Nasional (BN) dan PAS. Kalau bertanding tiket bebas, belum ada yang menang di Kelantan kerana orang Kelantan hanya kenal 2 parti sahaja iaitu PAS dan Umno yang mewakili BN,” katanya.
Nada yang sama disuarakan pemimpin PAS Kelantan Datuk Abdul Fatah Mahmood dengan berkata kehadiran Ibrahim tidak memberi banyak kesan kepada PAS malah beliau yakin parti Islam itu akan kekal mentadbir.
“Beliau bertanding di Parlimen untuk negeri tidak akan memberi kesan, malah Ibrahim kata beliau akan bertanding atas tiket bebas. Jadi terpulang kepadanya untuk bertanding. Jika mahu berbincang dengan kita juga masih ada ruang,” kata Adun Bukit Panau itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA