Khamis, 3 November 2016

Umno lebih cepat jatuh dengan bantuan bekas ahli, kata Salahuddin

Timbalan presiden Amanah itu percaya bekas pemimpin dan ahli Umno mampu menjadi pemudah cara untuk parti pembangkang menjatuhkan Umno dan BN.
Salahuddin-Ayub
PETALING JAYA: Rakyat akan lebih mudah menerima perkara sebenar yang berlaku dalam Umno seperti salah guna kuasa dan rasuah jika ia diterangkan oleh bekas pemimpin parti itu sendiri, kata Salahuddin Ayub.
Timbalan presiden Amanah itu berkata demikian susulan beberapa bekas pemimpin Umno menubuh dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Beliau percaya ia akan memberi kelebihan sekali gus menjadi pemudah cara bagi parti-parti pembangkang lebih cepat menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Ada pepatah Inggeris yang menyatakan “only diamond can cut diamond” (hanya berlian boleh memotong berlian).
“Kehadiran tokoh-tokoh besar di dalam Bersatu akan menjadi pemudah cara untuk kita lebih cepat sampai ke sasaran, iaitu rakyat biasa lebih mudah menerima penerangan sekiranya ia datang daripada bekas Umno,” katanya kepada FMT.
Semalam, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai penuh kepimpinan parti, bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz dilantik sebagai timbalan presiden.
Manakala, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pula dilantik menjadi naib presiden.
Bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times, Datuk Kadir Jasin; abang Muhyiddin, Tan Sri Abdul Aziz Yassin; Tariq Ismail yang merupakan cucu bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman serta bekas exco Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen pula dilantik sebagai ahli MPT PPBM.
Salahuddin menyambut baik kehadiran Rashid di dalam PPBM malah menyifatkan penglibatan beliau akan membantu parti-parti pembangkang menghadapi kerenah politik SPR.
“Saya harap beliau akan membantu kita menghadapi politik SPR yang kini dilihat semakin cenderung kepada BN.
“Dengan adanya beliau, saya harap ia akan memberi satu nilai tambah dan memudahkan kita lagi dalam menghadapi politik SPR, dalam konteks memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bersih,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA