Ahad, 20 November 2016

Umno BN kian terdesak, takut kebangkitan rakyat

Tindakan polis menahan pemimpin pembangkang dan aktivis BERSIH 2.0 adalah bukti kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) kini terdesak dan ketakutan dengan kebangkitan rakyat.
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ia sememangnya dijangka berikutan sehari sebelum himpunan BERSIH 5 berlangsung, Pengerusi 2.0, Maria Chin Abdullah ditahan bagi menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat.
“Ini menunjukkan ketakutan Umno-BN, mereka sudah rasa tidak selesa dengan kita perlu ditindas, dikekang.
“Tetapi lagi mereka buat begini maka lagi rakyat akan sedar dan bertindak,” katanya kepada SelangorKini di luar Pusat Tahanan Berpusat Jinjang, di sini, hari ini.
Sehari sebelum BERSIH 5, Maria Chin dan Pengurus Sekretariat BERSIH 2.0, Mandeep Singh ditahan diikuti beberapa pemimpin lain.
Selepas berakhir himpunan itu semalam, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pula ditahan polis.
Beliau berkata, sememangnya semua pihak kecewa dan sedih dengan penahanan Maria Chin dan dituduh di bawah Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana ia tuduhan berat.
Mengulas mengenai BERSIH 5, katanya, ia adalah kejayaan besar dicapai dalam keadaan rakyat ditakutkan dan diugut.
“Kita lihat taktik polis bagi memecahkan kumpulan peserta kerana kita tidak boleh ke Dataran Merdeka tetapi akhirnya rakyat yang keluar bersama dan berhimpun di KLCC, di situ kita lihat lautan manusia.
“Perkara paling penting ingin saya katakan apabila kita melihatkan sekeliling anda tidak dapat mengenal pasti bangsa yang hadir, semua bangsa ada malah dari Sabah dan Sarawak juga ada.
“Ini adalah kebangkitan rakyat untuk menolak Umno-BN dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

1 ulasan:

  1. Bukan semua polis. KPN dan sekutu dia sj. Harap polis secara amnya berjuang bersama rakyat utk hapuskan korupsi dan kleptokrat. Polis pun sebahagian drpd rakyat!

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA