Selasa, 22 November 2016

UM mulakan prosiding tatatertib ke atas penganjur #TangkapMO1

Jurucakap #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof hari ini menerima 'surat cinta' yang kedua dari Universiti Malaya berhubung prosiding tindakan tatatertib ke atas beliau bersama tiga mahasiswa yang lain.
"Selain saya, 3 orang rakan mahasiswa turut menerima surat pertuduhan dan prosiding (perbicaraan kes) yang sama hari ini iaitu Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim Fazli dan Suhail Wan Azahar," kata beliau dalam laman Facebooknya.
Kira-kira sebulan yang lalu, keempat-empat mereka menerima surat tunjuk sebab daripada pentadbiran pusat pengajian tinggi itu yang meminta mereka memberikan asalan menyertai perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos lalu.
Menurut Anis Syafiqah lagi, empat orang rakan beliau lagi turut menerima surat prosiding kerana mengangkat plakad sewaktu Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menghadiri program Jelajah 1MDB ke kampus universiti berkenaan tempoh hari.
"Manakala 4 lagi rakan (Ho Chi Yang, Hun Ti, Li Yang dan Jia You) turut menerima surat prosiding kerana mengangkat plakad sewaktu Arul Kanda datang untuk Jelajah 1MDB di dalam kampus UM tempoh hari," jelas beliau.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Azalina Othman selaku menteri mentor Universiti Malaya, tambahnya, tempoh antara tarikh notis dikeluarkan dengan tarikh prosiding (30 Nov) amat singkat, iaitu hanya lebih kurang seminggu.

"Pertuduhan yang dikenakan amatlah bertentangan dan langsung tidak berlandaskan Perlembagaan iaitu dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan)," ujarnya lagi.
Antara tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya, beliau dituduh melanggar kod universiti pelakuan pelajar dengan menganjurkan perhimpunan tersebut, menyebabkan gangguan awam, serta mencemarkan nama baik universiti.
Seperti yang dinyatakan dalam surat itu, jika didapati bersalah, mereka berdepan dengan hukuman antaranya diberikan amaran, didenda sebanyak RM200, digantung atau dipecat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA