Khamis, 3 November 2016

Tutup MKPN: Najib tunduk kepada ultra, kata Mujahid

Selepas 3 tahun, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Majlis Konsultasi Perpaduan Negara.
Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN)KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak mempunyai prinsip sehingga sanggup mengabaikan begitu sahaja cadangan dan ideanya sendiri kerana tekanan golongan ultra Melayu dan konservatif Islam, menurut seorang bekas pemimpin PAS.
Datuk Dr Mujahid Yusof berkata perdana menteri sanggup membunuh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dan mengenepikan begitu sahaja 3 cadangannya kerana tiada kesungguhan politik.
“Saya sangat kesal dengan pengumuman menteri semalam bahawa MKPN sudah mati manakala 3 cadangan rang undang-undangnya kini masuk almari saja,” kata naib presiden Amanah itu kepada FMT.
Mujahid pernah mempengerusikan MKPN, badan yang ditubuhkan pada 2013 di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dianggotai 18 pemimpin dari segenap lapisan politik bagi mencari jalan meningkatkan keharmonian antara kaum selepas pilihan raya umum pada Mei tahun itu.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup semalam mengumumkan MKPN sudah tidak ada lagi.
Tiga rang undang-undang (RUU) yang dicadangkan oleh MKPN juga dibekukan, dengan alasan Akta Hasutan masih diperlukan, masyarakat belum bersedia menerima pendekatan MKPN, dan peguam negara perlu melihat sejauh mana ia bercanggah dengan perlembagaan.

RUU itu termasuk mengenai kesaksamaan jantina, kebencian agama dan kaum dan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional.
Mujahid berkata Najib menghabiskan berjuta ringgit dalam penubuhan MKPN tetapi membiarkan ia dibunuh “kerana tidak ada keberanian”.
“Inikah pemimpin yang kita harapkan?” soal ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Najib ketika melancarkan MKPN berkata perpaduan nasional akan dapat dicapai jika rakyat tidak lagi melihat antara satu sama lain melalui lensa agama atau kaum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA