Khamis, 10 November 2016

Trump menang: Ekonomi Malaysia akan lebih mencabar

"PASARAN pesat membangun lebih terdedah jika Amerika Syarikat (AS) melaksanakan pendirian melindungi perdagangan antarabangsanya," kata Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).  
Donald Trump Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Mohd Najib Abdullah berkata manifesto pilihan raya Donald Trump berhubung globalisasi dan  perdagangan bebas merupakan ancaman kepada pertumbuhan global, yang sudah pun tertekan akibat permintaan yang lemah dan lebihan bekalan.  
"Walaupun pergantungan langsung eksport Malaysia dalam pasaran AS sudah berkurangan dalam tempoh sepuluh tahun lepas, impak tidak langsung menerusi negara ketiga, terutama China dan Singapura, akan dirasai.  
"Tahun-tahun mendatang akan menjadi lebih mencabar bagi ekonomi Malaysia," katanya.  
Najib berkata demikian ketika mengulas mengenai kemungkinan kesan ke atas perdagangan antarabangsa berikutan kemenangan Trump dalam pemilihan Presiden AS hari ini.
Mengenai kesan ke atas pasaran kewangan, Najib berkata dalam kes Malaysia, kecairan asing banyak dalam pasaran bon kerajaan terutama dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia, namun agak rendah dalam pasaran ekuiti.  
"Kumpulan MIDF yakin asas-asas negara ini cukup kukuh bagi memberi jaminan kepada pemegang bon asing untuk terus melabur di negara ini.  
"Tambahan pula, Standard & Poor baru sahaja mengesahkan penarafan kedaulatan Malaysia pada A-," kata Najib.  
Beliau berkata kesan ke atas industri dan syarikat dijangkakan berlaku perlahan-lahan dengan perubahan ketara dalam nilai dolar US akan memberi kesan ke atas pembiayaan banyak industri.  
"Sebagai contoh, dolar yang beransur-ansur lemah akan menjadi positif kepada keuntungan pengeksport minyak sawit kerana ia akan diterjemahkan kepada hasil ringgit yang lebih tinggi.  

"Bagaimanapun, perlindungan yang lebih ketat oleh AS membawa kesan buruk kepada perdagangan global, dan dijangka menjejaskan  perkhidmatan perkapalan dan pelabuhan," katanya.  
Najib bagaimanapun berkata, Trump juga berjanji untuk menangani pelaburan langsung asing AS terutama dengan China.
"Ini mungkin memberi kesan negatif ke atas syarikat Malaysia, terutama dalam sektor elektronik dan elektrik, yang telah meletakkan diri mereka dalam rantaian nilai global," katanya.  
Salah satu ancaman terbesar industri ke atas kemenangan Trump ialah beliau tidak menyenangi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).  
"Pembatalan TPP akan mengurangkan harapan bagi kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana berorientasikan eksport di negara anggota TPP untuk mendapat akses yang lebih besar di AS," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA