Rabu, 30 November 2016

Tragedi kemanusiaan Gua Musang: ‘Orang Asli tidak mengganas’


Tijah Yok ChopilTijah Yok Chopil“Mereka tidak mengganas. Orang Asli hanya mahu kerajaan negeri dan Timbalan Menteri Besar Kelantan turun padang ikut mereka tinjau sendiri kesan akibat pembalakan terhadap alam sekitar.”
 Itu penegasan pihak Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) ekoran tindakan Jabatan Perhutanan Kelantan semalam menangkap 47 Orang Asli yang berada di sekatan laluan balak di hutan simpan hulu negeri itu.
Penyelaras JKOASM, Tijah Yok Chopil berkata, kesemua Orang Asli terbabit wajib segera dibebaskan memandangkan mereka tidak mencetuskan sebarang aksi ganas ketika operasi tersebut dilakukan.
Untuk rekod, seramai 210 anggota dan pegawai daripada Perhutanan, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat dalam merobohkan sekatan dan bangsal dibina Orang Asli.
“Polis dan Jabatan Perhutanan sendiri mengakui Orang Asli tidak melawan atau melakukan sebarang kekecohan semasa blockade dan pondok mereka dirobohkan.
“Malah mereka menyanyikan lagu Negaraku tanda betapa Orang Asli turut mencintai tanah air ini dan wilayah adat yang mereka pertahankan,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Menurut Tijah, pihak kerajaan negeri harus mendengar suara dan menghormati hak Orang Asli memandangkan mereka telah mendiami hutan belantara di Gua Musang sejak turun-temurun.
“Orang Asli berkurun jaga, guna dan pulihara sumber hutan wilayah adat mereka. Tindakan Orang Asli membuat sekatan di laluan lori balak itu pun semata-mata untuk menyelamatkan sisa hutan yang ada untuk kepentingan negeri Kelantan dan juga rakyat.
“Sebelum diisytihar sebagai hutan simpan lagi, datuk nenek moyang mereka sudah mendiami hulu Kelantan. Mereka bukan penceroboh sebaliknya penceroboh sebenar adalah Jabatan Perhutanan, syarikat pembalak dan kerajaan negeri,” bidasnya.

Mengulas lanjut pendirian Orang Asli yang tetap menuntut aktiviti pembalakan diberhentikan, Tijah berkata, Orang Asli mempunyai ahli keluarga dan keturunan yang perlu mereka lindungi demi memastikan masa depan dan kelangsungan hidup Orang Asli terpelihara.
“Orang Asli hanya inginkan kedamaian dan mereka berhak untuk rasa bertanggungjawab melindungi hutan dan wilayah tanah adat mereka.
“Hak Orang Aasli ini juga mesti kerajaan negeri dan jabatan penguatkuasaan lain sedar supaya tiada lagi banjir besar melanda Kelantan akibat kepupusan kawasan tadahan air hujan sehingga mengakibatkan rakyat menderita,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA