Rabu, 30 November 2016

TRAGEDI INSIDEN JAMBATAN RUNTUH KL ECO CITY, PROJEK USAHASAMA DBKL: UTAMAKAN KEBAJIKAN MANGSA SERTA KESELAMATAN PENDUDUK SETEMPAT.

DBKL wajib mengutamakan kebajikan mangsa dan melindungi keselamatan penduduk setempat. Saya menggesa siasatan menyeluruh tragedi insiden jambatan runtuh KL Eco City ini disiasat memandangkan ini melibatkan kredibiliti DBKL sebagai penjaga kepentingan rakyat.

Umum mengetahui,KL Eco City adalah satu projek usaha sama antara SP Setia melalui KL Eco City Sdn Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), terletak di sepanjang Jalan Bangsar, yang bertentangan Mid Valley City. DBKL harus menjelaskan dengan kadar segera memandangkan terdapat konflik kepentingan dalam isu ini kerana ianya bukan hanya membabitkan pemaju. Projek usahasama ini melibatkan pelaburan kadar nisbah (80:20) bersama DBKL.[1]

Setinggi-tinggi takziah diucapkan kepada keluarga mangsa yang terlibat beserta mereka yang cedera parah. Lawatan Ketua Pembangkang- YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah bersama YB Chua Tian Chang, Ahli Parlimen Batu sebentar tadi telah pun turun ke kawasan tapak kejadian untuk menerima laporan secara langsung.

Melalui penemuan awal dilaporkan 2 orang dilaporkan maut manakala tiga orang cedera parah serta empat mangsa dilaporkan masih belum ditemui dalam insiden jambatan runtuh di laluan pejalan kaki tersebut. Saya dengan ini menggesa agar siasatan terperinci dijalankan kerana ini  jelas membabitkan serta menjejaskan keselamatan awam.

Jelas, yang menjadi kebimbangan utama adalah keselamatan orang awam khususnya rakyat Lembah Pantai  seperti penduduk Apartmen Putra Ria yang nyata menggunakan laluan tersebut setiap hari. Isu ini bukanlah yang pertama kali dibangkitkan, bahkan seringkali diutarakan apabila kawasan pembangunan yang terlalu hampir dengan kawasan orang awam.

Harapan saya agar pihak DBKL perlu bertanggungjawab sebagai pihak yang berkuasa serta memantau keselamatan orang awam dalam kawasan pembangunan projek. Merujuk kepada laporan pada sejak tahun 2009 apabila DBKL sendiri mengenal pasti 35 tapak projek merangkumi 547.92 hektar tanah berhampiran Kampung Haji Abdullah Hukum.

Pembangunan yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan ini harus selari dengan jaminan keselamatan terhadap penduduk tempatan. Apalah ertinya lapisan konkrit tanpa keyakinan rakyat terhadap kredibiliti pemaju dan keselamatan projek yang akan datang.

Jambatan pejalan kaki yang merentasi sungai Klang ke Midvalley ke kawasan  apartment Abdullah Hukum ini ialah satu laluan utama rakyat. Ia juga menghubungkan dengan beberapa pusat pengangkutan awam dan laluan utama. Dalam pada itu, saya turut mempersoalkan Kajian risiko melalui Quality Control (QC) daripada pihak DBKL yang gagal mengesan kebarangkalian berlaku kemalangan yang meragut jiwa orang awam. Harapan agar kesemua info ini boleh diperolehi daripada siasatan menyeluruh yang dijalankan.

Saya gesa respon berikut mengenai perkara yang perlu dilakukan oleh pihak DBKL:


1. Melantik satu badan bebas yang melibatkan pakar serta kajian akademi sebagai jawatankuasa siasatan insiden jambatan runtuh ini.

2. DBKL juga perlu mengambil tindakan dan membayar pampasan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan menanggung kos rawatan kepada mereka yang cedera parah.

3. Pihak DBKL perlu membuat kajian risiko ke atas semua projek pembangunan di Kuala Lumpur dan pihak Datuk Bandar perlu bentangkan dalam mesyuarat bersama ahli parlimen.

4. Pihak pemaju juga perlu mematuhi arahan daripada pengarah Jawatan kuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja [Department of occupational safety and health (DOSH)] untuk menghentikan segala kerja pembangunan serta-merta sehingga usaha untuk mencari mangsa yang masih tertimbus dijumpai.


Jika DBKL sendiri tidak mampu untuk mengawal selia projek sedia ada yang menjamin prestasi mereka, bagaimana DBKL mampu menjadi pemantau kepada projek yang bakal dijalankan di masa akan datang?


Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN

[1] this joint venture project, DBKL will be SP Setia's partner on a profit-sharing basis, taking 20 per cent of the project's net profits. DBKL being the landowner will be offered a 38-storey office tower with NLA of 400,000 sq ft (https://www.academia.edu/12852403/Urban_Renewal_KL_Eco_City

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA