Khamis, 24 November 2016

TPPA: Tindakan seterusnya M'sia hanya selepas 20 Jan - Mustapa

Malaysia akan mengambil tindakan seterusnya hanya apabila terdapat pengesahan rasmi yang Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Malaysia akan menunggu kejelasan lebih lanjut daripada pentadbiran AS apabila presiden baharu mengambil alih jawatan pada 20 Januari 2017," kata Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan ini diambil meskipun hakikatnya dalam kenyataan terbaru pada 21 November, Presiden AS yang baru dilantik Donald Trump menyatakan antara tugas pertamanya sebagai presiden adalah menarik keluar AS daripada TPPA, katanya.

"Sebaik sahaja kita mendapat kejelasan daripada Pentadbiran baharu AS selepas 20 Januari 2017, ketua-ketua perunding mungkin akan bertemu untuk menimbangkan pilihan dan jalan penyelesaian," katanya.

Sementara itu, Malaysia akan meneruskan usahanya meminda undang-undang relevan kerana perubahan kepada sesetengah undang-undang ini bukan hanya bagi mematuhi TPPA tetapi adalah hasil daripada kajian semula domestik berterusan yang bertujuan untuk mengukuhkan dan mengemas kini beberapa undang-undang bagi memudahkan perdagangan dan memenuhi obligasi antarabangsa, katanya.

"Keputusan akhir mengenai cadangan pindaan itu bagaimanapun akan dibuat oleh Kabinet," kata Mustapa sebagai memberi reaksinya kepada pengumuman Trump mengenai hasrat AS untuk menarik diri daripada TPPA.

Beliau berkata semua 12 pemimpin negara-negara TPPA bertemu di Lima, Peru, pada 19 November 2016, untuk melihat perkembangan terkini proses domestik mereka masing-masing ke arah ratifikasi.

"Semua anggota TPPA, kecuali AS, sedang berada di pelbagai tahap mendapatkan kelulusan perundangan domestik mereka. New Zealand telah menyelesaikan proses Parlimennya, Dewan Rakyat Jepun telah meluluskan TPPA yang kini akan mendapatkan kelulusan Dewan Negara Parlimen Jepun," katanya.

Beliau berkata semua pemimpin mengulangi komitmen mereka terhadap TPPA memandangkan manfaat yang boleh dibawa kepada ekonomi masing-masing, serta ke rantau Asia Pasifik, bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan dan pada masa yang sama meneruskan standard alam sekitar dan tenaga kerja yang baik.

"Mereka juga yakin dengan peranan TPPA dalam mengukuhkan lagi usaha membawa perusahaan kecil dan sederhana ke peringkat antarabangsa," katanya.

TPPA juga akan mewujudkan persekitaran yang diperlukan bagi pertumbuhan masa depan e-dagang di Jepun. Di Peru, pemimpin TPPA juga mengakui bahawa perjanjian itu merupakan perjanjian yang seimbang dan berkualiti tinggi yang tidak boleh dihentikan, katanya.

"Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, TPPA di bawah keadaan sekarang tidak boleh dilaksanakan tanpa penyertaan AS, kerana AS menyumbang kira-kira 60 peratus daripada gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 12 anggotanya.

"Di bawah perjanjian itu, minimum enam negara yang menyumbang 85 peratus daripada gabungan KDNK 12 negara anggota perlu meratifikasikannya sebelum TPPA boleh dikuatkuasakan," kata Mustapa.

Beliau juga menegaskan perdagangan bebas dan adil memberi manfaat kepada Malaysia.

"Meskipun globalisasi dan liberalisasi mungkin tidak sempurna, perjanjian perdagangan bebas dilengkapkan dengan dasar-dasar domestik yang sesuai dan langkah-langkah sokongan boleh menyebarkan manfaat pembangunan yang memberi faedah kepada golongan miskin dan terpinggir dalam masyarakat," katanya.

Sebagai sebuah negara dagangan, Malaysia akan meneruskan perjanjian dagangan keutamaan yang adil dan memberi manfaat kepada negara dari segi perdagangan, pelaburan, pendapatan dan pekerjaan, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA