Ahad, 6 November 2016

TMJ 'tembak' tujuh lelaki baju merah

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menyiarkan video bagi menyebarkan mesej antikeganasan dan mengkritik gerakan baju merah.
Video parodi yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers itu, menggambarkan tujuh lelaki bertopeng meniru aksi seni mempertahankan diri oleh pergerakan baju merah dalam protes mereka di Petaling Jaya semalam.
Satu watak dalam klip video itu memegang cangkul, yang mungkin merujuk kepada insiden bulan lalu melibatkan serangan terhadap kakitangan Suruhanjaya Air Johor.
Klip itu berakhir dengan Tunku Ismail 'menembak' tujuh lelaki berkenaan dengan menggunakan sepucuk pistol.
Beliau kemudian memandang kamera dan mengangkat bahu sebelum video parodi itu tamat.
Mesej yang disertakan di Facebook tersebut berbunyi: "Senjata tidak membunuh manusia, manusia yang saling membunuh antara satu sama lain. Keganasan dan kebencian tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik. Kekal positif. Salam penuh kasih sayang,".
Dalam protes di Malaysiakini semalam, beberapa anggota pergerakan baju merah mengadakan demonstrasi seni mempertahankan diri.
Mereka menunjukkan kehebatan dengan membenarkan diri mereka dipukul berulang kali menggunakan keping kayu.
Malah, salah seorang peserta memecahkan batu blok dengan kepalanya.
Baju merah ditubuhkan bagi menentang gabungan pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH.
Ketua Umno bahagian Sungai Besar  Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang memimpin baju merah berikrar menghimpunkan 300,000 peserta sebagai himpunan balas bagi membantah perhimpunan BERSIH yang dijadual pada 19 November ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA