Jumaat, 4 November 2016

Timbalan menteri MITI tak boleh jawab isu harga minyak masak naik?

Sedangkan anda jugalah yang pernah berkongsi resipi nasi goreng GST sebelum ini walaupun bukan seorang chef atau tukang masak.
Apakah seorang guru yang mengajar bahasa Melayu tidak boleh menegur pelajar jika dia didapati membuat kesilapan dalam mata pelajaran Matematik?
Bolehkah saya menjawab “tidak boleh dan bukan tugas saya” jika bos arah sesuatu kerja di luar bidang tetapi mampu saya lakukan?
Bagaimana pula jika seseorang itu berdiam diri melihat orang di sebelah dirompak atau dipukul dengan alasan mereka bukan polis?
Samalah juga dengan insiden Datuk Ahmad Maslan apabila beliau berdiam diri daripada menjawab soalan berkenaan kenaikan harga minyak.
Jawapan beliau, sangat senang, ““Saya tidak jawab apabila media semalam tanya tentang harga minyak sebab semua orang tahu yang minyak masak bawah KPDNKK dan petrol bawah MOF. Saya di MITI..”
Jawapan itu pula diberikan pada keesokan hari melalui akaun Twitter selepas video rakaman beliau berdiam diri kepada soalan seorang wartawan portal dalam talian tersebar luas.
Wahai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (MITI), rakyat melantik anda sebagai wakil, sebagai medium supaya boleh menjadi penghubung dan “jika boleh” penyelesai masalah rakyat.
Alasan yang disampaikan Ahmad sekali lagi meletakkan kredibiliti beliau dipersoal orang ramai.
Apabila anda atau mana-mana menteri, wakil rakyat diutarakan dengan soalan berkisar sosioekonomi atau kos sara hidup, masalah yang sedang meruncing kami selaku rakyat, tak kiralah apa pun portfolio anda, saya rasa wajarlah ia dijawab secara bertanggungjawab.
Sekurang-kurangnya, tunjukkan respons tanda keprihatinan dan bukan dengan memberi alasan “bukan bidang kuasa saya” atau sama erti dengannya.
Lagi pun anda jugalah yang pernah berkongsi resipi nasi goreng GST sebelum ini walaupun anda bukan seorang chef atau tukang masak. Malah mengakui rajin memasak untuk ahli keluarga di rumah, maka sebagai seorang pengguna minyak masak, anda pasti orang yang paling layak memberi komen atau mengulas tentang isu tersebut.
Dan kalau semua menteri berkelakuan sama, enggan menjawab semata-mata kerana ia bukan di bawah bidang kuasa mereka, apa gunanya kami mengundi dan melantik anda?
Ini isu rakyat jelata dan semua orang ada hak serta tanggungjawab untuk memberi pendapat, apatah lagi menteri dan ahli Parlimen.
Mungkin Ahmad bertindak demikian kerana tidak mahu dilibatkan dalam sebarang kesulitan kelak, tetapi nampaknya keputusan beliau berdiam diri dalam hal seperti ini lebih parah.
Esok lusa kalau ada masalah di kawasan anda, misalnya berhubung isu kesihatan atau kes penderaan domestik, jangan pula ada ahli Parlimen, atau Adun yang memberi alasan, “Saya bukan menteri kesihatan atau menteri pembangunan keluarga dan wanita justeru tidak boleh berbuat apa-apa”.
Harap anda lebih peka dan bertanggungjawab, sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA