Ahad, 6 November 2016

TIGA HERO BAHARU ORANG MELAYU: RAKYAT DIPERINTAH DALAM KEADAAN MATA DITUTUP


Pemuliharaan dan perlindungan terhadap Najib Razak memang hebat. Pagar atau tembok kekuasaan yang mengelilinginya persis tembok atau pagar duri dibina untuk menjaga keselamatan dan keliaran haiwan ganas seperti singa, harimau dan buaya dalam zoo. Dengan segala pagar dan kekuasaan yang ada tidak mungkin haiwan itu akan terlolos dari zoo.
Betapa tidak hampir semua institusi rakyat yang diharap menjadi payung menjaga kepentingan rakyat dan negara telah musnah atau pun dilanggar begitu sahaja semata-mata untuk menyelamatkan Najib. Sebelum ini beberapa institusi rakyat telah diganggu atau pun diarah bertindak mengikut kauasa yang diberikan perlembagaan kepada mereka semata-mata menyelamatkan perdana menteri itu.
Semuanya itu dilakukan bagi melindungi dan memelihara seorang manusia berdarjat Perdana Menteri yang didakwa telah melakukan “jenayah” kenegaraan dan mempunyai berbagai skandal. Najib dikaitkan dengan isu kehilangan wang daripada syarikat pelaburan strategi 1MDB, beliau juga dipersalahkan kerana menerima dana RM2.6 billion serta melakukan beberapa kesalahan-kesalahan lain lagi dengan menggunakan kuasa prerogetif kemudian memperalatkan institusi atau agensi kerajaan mempertahan dan melindunginya.
Dr Mahathir Mohamad
Sebelum ini SPRM telah membuat penyiasatan berkaitan isu 1MDB dan syarikat SRC International yang ada kaitan dengan skandal 1MDB. Semasa dalam proses siasatan beberapa orang pegawai kanan suruhanjaya itu dikenakan tindakan ditukar dan disiasat polis. Penukaran itu adalah bentuk gangguan ke atas kerja dan bidang kuasa SPRM.
Kerana kecewa dengan gangguan itu al hasilnya beberapa orang pegawai tinggi SPRM mengambil keputusan berhenti atau bersara awal kerana kecewa apabila tugas dan tanggungjawab mereka diganggu kerana untuk menyelamatkan seorang manusia. Suruhanjaya yang dibentuk untuk menjaga integriti negara hancur kerana permainan itu.
Terdahulu daripada itu Peguam Negara telah dinasihatkan berhenti atas alasan sakit. Cerita disebalik tindakan peguam negara itu tidak didedahkan. Kenapa beliau dinasihatkan berhenti ialah kerana telah menyiapkan kertas pendakwaan terhadap Najib berhubung salah lakunya dalam isu 1MDB?.
Maka seorang ahli Umno dilantik menjadi Peguam Negara baharu yang dilihat memberi perlindungan dan sedia menjadi alat penyelamat Najib dengan menggunakan badan kehakiman. Pelanggaran ini sesuatu yang cukup mengaibkan, sekaligus menajadi badan kehakiman negara seperti mahkamah adat dalam sebuah Istana sahaja.
Dalam masa sama juga PDRM digunakan untuk bertindak menggunakan undang-undang yang dipacu Menteri Dalam Negeri untuk bertindak ke atas individu tertentu yang cuba bertindak ke atas jenayah PM. Pegawai SPRM dipanggil polis dan diminta keterangan. Sesiapa sahaja yang lantang bercakap mengenai 1MDB dan mengkritik Najib diintip dan dijejaki polis malam siang. Bahkan ada juga mereka yang sedang dalam proses diheret ke mahkamah.
Tidak terlupa Bank Negara juga ikut sama terkena tempiasnya. Ketelusan dan kejujuran Gebenur BN ketika itu Zetti Akhtar Aziz ikut sama terheret sampai beliau dituduh sebagai konspirator menjatuhkan Najib oleh para pendolor punggung Najib.

Apabila ahli Umno dilantik menjadi Peguam Negara beliau membuat kenyataan menutup kes Najib berkait 1MDB dan juga kemasukan wang dana RM2.6 billion ke dalam akaun peribadinya. Najib disityharkan bebas dari melakukan jenayah rasuah. Tidak ada penyelewengan kata Peguam Negara. Peguam Negara telah baptiskan Najib dari tuduhan itu. Penutupan kes tanpa dibicarakan. Hebat. Sesuatu yang dikesali seluruh rakyat. Ketelusan menggunakan undang-undang untuk membebaskan Najib tidak diamalkan.
PAC (Audit) yang membuat siasatan mengenai dakwaan itu, dan menemui beberapa bukti jelas tentang penyelewengan juga disekat. Laporannya tidak dibenarkan untuk disebar. Bahkan laporan audit itu tidak pun diterima pakai. Anih.
Rakyat bukan sahaja tidak dapat membacanya tetapi laporan audit itu akhirnya disenaraikan sebagai bahan haram untuk dibaca oleh rakyat atau dijadikan bukti keberkaitan Najib dalam isu 1MDB. Ia digezetkan sebagai OSA. Sesiapa membaca dan memilikinya akan dikurung mandotori dalam penjara. Rafizi Ramli sudah menjadi mangsa kepada penguatkuasaan sekatan itu apabila beliau didakwa dibawah akta rahsia rasmi (OSA) apabila memetika hasil laporan berkenaan.
Speaker Dewan Rakyat juga ikut sama terkena arahan gelap apabila membuat arahan dan ketetapan isu 1MDB tidak boleh dibincang di dalam parlimen pada sepanjang persidangan. Alasannya kerana tidak mahu menimbulkan prejudis. Tindakan dan arahan ini paling anih. Parlimen satu-satu dewan yang berintegriti dan mempunyai kekebalan kepada anggotanya turut sama dilarang.
Terbaharu, sekali lagi parlimen digunakan untuk “memelihara” jenayah kenegaraan dilakukan Najib itu apabila melarang wakil rakyat bercakap membangkit isu berkenaan. Tiga orang bekas menteri yang membangkitkan isu itu telah dipanggil polis untuk disiasat dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)
Mereka ialah Muhyiddin Yassin, Ahmad Husni Hanadzalah dan Shafei Afdal. Semasa perbahasan belanjawan minggu lalu ketiga-tiga mereka ada menyentuh mengenai isu 1MDB di mana menurut mereka ada beberapa hal berhubung syarikat berkenaan yang tidak telus ini termasuklah wang pelaburan itu dimasuk atau diletakkan ditenpat yang tidak betul.
Kalau mereka yang dipilih rakyat dimana kedudukanya dijamin parlimen tidak boleh bersuara dan menyuarakan sesuatu yang rakyat ingin tahu, di mana lagi rakyat hendak mendengarnya. Ertinya semua perkara-perkara jelek mengenai seorang perdana menteri didiamkan sahaja. Bukankah ini menujukkan perdana menteri seorang bukan sahaja autokrasi tetapi juga kukubesi. Dan tindakan ini sebenarnya sangat kejam.
Tindakan itu sangat tidak berperaturan. Benar kata Dr Wan Azizah Wan Ismail tindakan memanggil ketiga-tiga menteri itu sebagai tindakan tidak mengikut Perlembagaan. Ketahui dan sedarilah rakyat Malaysia kini sedang ditadbir dalam keadaan matanya ditutup. Rakyat hanya boleh mendengar tetapi tidak boleh bersuara. Saluran atau chanel untuk rakyat mendegar sesuatu berkepentingan mereka juga ditutup serapat-rapatnya. Dan jika rakyat buka mulut mereka akan ditangkap dan didakwa. Apakah ini belum boleh diistyharkan kejam?
Keadaan rakyat Malaysia kini lebih teruk dan susah daripada si Apek yang ditarik Marjina dalam filem “Alibaba dengan 40 penyamun.”
Sehubungan itu Selasa ini Dr Mahathir Mohamad akan ke parlimen berjumpa dengan beberapa bekas menteri dan ahli parlimen membincangkan mengenai integriti dan kuasa parlimen serta imunitinya yang sudah dirobohkan. Kita berharap hasil pertemuan itu merumuskan sesuatu yang baik bagi memulihkan integriti dan maruah dewan legalslatif itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA