Rabu, 2 November 2016

Tiada individu, premis kebal untuk dedah maklumat OSA, kata Zahid

Halangan sama turut terpakai kepada anggota pentadbiran kerajaan walaupun mereka tidak lagi memegang jawatan itu, kata timbalan perdana menteri.
zahid-hamidi-pandikar
KUALA LUMPUR: Semua anggota pentadbiran kerajaan yang mengangkat sumpah rahsia tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) di mana-mana premis termasuk di Parlimen, kata timbalan perdana menteri.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau merujuk perkara itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan penasihat undang-undang.
Jelasnya, halangan sama turut terpakai kepada anggota pentadbiran tersebut walaupun mereka tidak lagi memegang jawatan itu.
“Mana-mana anggota pentadbiran iaitu yang mengangkat sumpah rahsia yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi tidak boleh sama ada semasa memegang jawatan atau selepas memegang jawatan, di mana-mana premis yang mempunyai kekebalan sekalipun, tidak boleh menyingkap persoalan yang terlingkup di dalam
Akta Rahsia Rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.
Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, maklumat yang tertakluk di bawah OSA itu juga tidak boleh didedahkan oleh seseorang anggota Parlimen walaupun sewaktu berbahas atau berucap di Dewan Rakyat.

Menurutnya, walaupun anggota Parlimen memiliki keistimewaan dan kekebalan untuk menyentuh pelbagai perkara, mereka tidak boleh menyentuh perkara-perkara yang terkandung di bawah OSA, Akta Hasutan 1948 atau perkara yang sedang dalam prosiding mahkamah.
Menjelas lanjut mengenai tindakan polis memanggil 3 bekas menteri untuk diambil keterangan baru-baru ini, Zahid berkata sebanyak 15 laporan polis dibuat terhadap mereka bertiga dan polis bertindak berdasarkan kepada laporan itu.
“Apa yang diambil pihak polis adalah mengambil keterangan, jadi setelah keterangan itu diperoleh dalam bentuk apa pun, ia akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Zahid berkata beliau akan menyatakan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar jika keterangan terhadap ketiga-tiga bekas menteri itu boleh dibuat selepas selesai sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Bagaimanapun, katanya, ia terpulang kepada Khalid untuk menentukannya sama ada ia harus dilaksanakan sekarang atau sebaliknya.
“Dalam perkara ini, saya fikir insya-Allah kita akan berlaku adil, kementerian dan polis akan berlaku adil. Mereka ini juga kawan-kawan rapat saya hingga sekarang, jadi saya akan bertindak secara profesional,” katanya.
Baru-baru ini, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.
Husni dan Muhyiddin dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan selepas terdapat laporan dibuat ke atas mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA