Rabu, 9 November 2016

Terjejaskah M'sia bila Trump jadi presiden AS?

Walaupun beberapa penganalisis politik meramalkan Hillary Clinton akan menjadi presiden AS ke-45, ternyata Donald Trump dari Republikan mengalahkan beliau hari ini.
Selain memenangi jawatan presiden AS, Trump turut memeranjatkan banyak pihak setelah mencatat kemenangan mengejutkan di negeri-negeri sengit termasuk Florida, Ohio dan Carolina Utara.
Namun, selepas sudah terang lagi bersuluh Trump mendahului perlumbaan, nilai dolar AS menjunam manakala pasaran saham pula menunjukkan trend terkebelakang.
Para pelabur pula, di sisi lain, berasa bimbang jika kemenangan Trump itu akan mencetuskan ketidak tentuan global.
Di sebalik semua, apa maknanya kemenangan Trump ini untuk Malaysia?
Malaysiakini menemu bual beberapa penganalisis bagi mendapatkan petunjuk mengenai implikasi kemenangan jutawan AS kontroversi itu kepada Malaysia.
Felo kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam di Singapura, Oh Ei Sun percaya Trump akan menggunakan pendekatan lebih pragmatik dalam berurusan dengan negara-negara asing.
"Sebagai ahli perniagaan, Trump akan berkata apa sahaja yang pelanggan (pengundi) mahu mendengar, beliau akan sekat apa jua urusniaga untuk kekal berkuasa," jelas Oh.
Pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, James Chin pula, di sisi lain berkata, Trump akan menumpukan seluruh perhatian kepada AS sebagai permulaannya.
"Kita akan melihat lebih banyak perlindungan perdagangan kepada Amerika dan tindakan ini akan menjejaskan negara-negara kecil seperti Malaysia."
Berkenaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) - yang dimeterai awal tahun ini - kedua-dua penganalisis percaya perjanjian perdagangan itu 'terbatal' setelah Trump telah menyatakan secara jelas bahawa beliau menentang perjanjian itu.
Jadi, apa yang bakal terjadi kepada pakatan perdagangan?
Oh menegaskan bagaimana kerajaan AS telah, pada masa lalu, memeterai banyak perjanjian dengan tidak mendapat pengesahan Senat.

"Oleh itu, ia berlaku tanpa sebarang kesan undang-undang ke AS," ujar Oh lagi.
Pada masa yang sama, beliau turut percaya hubungan Malaysia dengan China akan terus kukuh sambil merujuk kepada trend pelaburan AS yang mendatar di Malaysia.
"Dan akan kekal mendatar selagi ekonomi AS masih berkeladak."
Chin, sementara itu, percaya Trump tidak mungkin akan mendepani China mengenai isu Laut China Selatan.
"China akan meraih manfaat jika AS tidak berminat tentang Laut China Selatan," katanya.
Mengenai tuntutan mahkamah Jabatan Keadilan (DOJ) AS, - yang mahu mendapatkan semula lebih AS$1 bilion nilai aset dikaitkan dengan 1MDB - Chin percaya saman itu akan diteruskan.
"DOJ bebas daripada Rumah Putih," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA