Sabtu, 26 November 2016

Terima kasih tangkap, saya sedia ke mahkamah, kata Jufazli

Akaun Facebook pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah diikuti lebih 40,000 orang dan beliau sering membangkitkan isu salah laku kerajaan negeri itu.
Jufazli-Shi-Ahmad_law
KUALA LUMPUR: Aktivis Sabah, Jufazli Shi Ahmad berkata beliau bersedia ke mahkamah demi mempertahankan dakwaannya mengenai berlaku salah laku dalam kerajaan negeri itu.
Pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah (GAMSS) itu berkata pihaknya ada bukti dakwaan berlakunya rasuah itu.
“Pemberi maklumat mempunyai hubungan yang baik dengan GAMSS, dan kami sedia berkongsi apa saja bukti yang diminta mahkamah.
“Maka terima kasih kerana menangkap saya, kerana meningkatkan reputasi GAMSS dan menunjukkan kami bercakap benar,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Jufazli disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, susulan mengkritik kerajaan Sabah dan ketua menteri Sabah di Facebook.
Akaun Facebooknya diikuti lebih 40,000 orang dan beliau sering membangkitkan salah laku kerajaan Sabah, antaranya dakwaan skandal hutan dan rasuah Jabatan Air Negeri Sabah.
Memetik laporan FMT pada 24 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan Switzerland memerintahkan USB mendedahkan rekod perniagaan yang dikatakan membabitkan ketua menteri, ekoran siasatan pihak berkuasa negara itu dalam kes pengubahan wang haram melibatkan AS$90 juta (RM400 juta).

Kes itu dibawa NGO anti pembalakan Yayasan Bruno Manser (BMF) pada Ogos 2012.
“BMF menerbitkan buku yang menyebut secara spesifik (berhubung dakwaan rasuah), ia bukan pentafsiran semula tetapi fakta mentah. Maka sukar untuk Musa menafikan,” katanya merujuk kepada buku bertajuk “Money Logging: On the Trail of Asian Timber Mafia” tulisan Lukas Straumann yang diterbitkan pada 2014.
“Strategi melawan rasuah di Sabah berbeza dengan Semenanjung. Jika di Semenanjung beberapa kes didedahkan secara umum, kami di sini ingin mengheret (perasuah) ke mahkamah.
“Mereka cuba menyalahkan pihak lain demi menutup skandal sendiri. Tetapi nampaknya mereka sudah tersilap kerana kami memang ada bukti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA