Rabu, 2 November 2016

Terima dana luar kerana kerajaan tak beri bantuan, kata aktivis

Kerajaan atau syarikat besar enggan memberi bantuan kepada NGO yang dilihat agak lantang terhadap kerajaan.
danaPETALING JAYA: Kesukaran mendapatkan bantuan dana daripada kerajaan menyebabkan kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) menerima bantuan dari luar, kata seorang aktivis yang enggan didedahkan namanya.
Beliau berkata, kerajaan cenderung memberi bantuan kepada NGO menyokong mereka atau persatuan anak yatim, nelayan dan sebagainya.
“Itu daripada kerajaan. Reaksi yang sama juga diterima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat multinasional. Kalau sesuatu NGO itu dilihat agak lantang, mereka tak akan beri dana sebab dengan alasan nanti susah untuk mereka nak buat (perniagaan) di Malaysia.
“Kalau tengok (syarikat seperti) Shell, BP ataupun Celcom, tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, tengok, siapa yang mereka mereka berikan dana? Selalunya untuk perkara yang tak begitu kontroversi seperti anak yatim, individu yang mempunyai kanser, Aids dan lain-lain,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa semalam yang mahu satu undang-undang menyiasat kemasukan dana asing ke negara ini.
Annuar berkata, undang-undang tersebut penting bagi kerajaan mengetahui sumber pembiayaan tersebut, sekali gus mengelak wujudnya ancaman pengaruh luar untuk menjatuhkan kerajaan.
Mengulas lanjut, aktivis itu turut ditanya sama ada NGO yang diwakilinya mempunyai perjanjian dan syarat-syarat bagi penerimaan dana terbabit.
“Selalunya bila NGO antarabangsa atau negara lain beri dana, memang ada perjanjian tapi selalunya mereka beri wang sahaja. Mereka tak ada minta anda buat ini dan itu,” katanya.
Menurutnya, sesebuah NGO itu perlu membuat kertas kerja terlebih dahulu dan memberikan cadangan apa yang dirancang bagi permohonan dana itu.
“Mungkin saya nak buat projek, penyelidikan atau bengkel. Mereka lihat apa yang anda cadangkan dan akan bersetuju untuk membiayai,” katanya.
Bagaimanapun, kemungkinan untuk ditolak dan tidak ditaja boleh terjadi atas alasan tidak bersesuaian dengan pemberi dana.

“Tapi kita boleh pergi kepada pemberi dana lain. Saya bagi contoh, kerajaan British. Untuk tahun depan, mereka minta kertas cadangan sebab mereka nak pertahankan ‘online freedom’ (kebebasan atas talian). Mereka alu-alukan kertas kerja untuk ‘online freedom’.
“Jadi sesiapa yang nak buat kerja berdasarkan ‘online freedom’, mereka akan buat kertas kerja,” katanya.
Beliau pada masa yang sama turut ditanya sekiranya selepas menerima dana, sesebuah NGO tidak mengikut perancangan dalam kertas cadangan.
“Tak boleh. Pemberi dana akan mempersoalkannya. Kenapa kertas cadangan anda buat ini tapi kerja anda buat lain. Biasanya sama ada kerajaan atau badan-badan lain, mereka ada juruaudit, pegawai program. Jadi bila anda buat kerja, anda kena buat apa yang dinyatakan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA