Khamis, 3 November 2016

Taxand Malaysia: Kerajaan mungkin perlu ubah suai Bajet 2017

Veerinderjeet berkata, jika iklim ekonomi tidak bertambah baik, kutipan cukai terus susut dan hasil GST menurun, kerajaan mungkin perlu membuat pengubahsuaian bajet pada suku pertama atau kedua.
vinderjeet
KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin perlu mengubah suai Bajet 2017 pada tahun depan, memandangkan senario ekonomi mungkin tidak begitu menarik ketika itu, kata pengerusi Taxand Malaysia.
Dr Veerinderjeet Singh berkata, pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Januari tahun ini terpaksa dilakukan selepas harga minyak global mencatatkan penurunan.
“Bagi 2017, jika harga minyak kekal stabil, ia mungkin bagus tetapi jika iklim ekonomi masih tidak bertambah baik, kutipan cukai terus susut serta hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menurun…saya fikir kerajaan perlu membuat pengubahsuaian bajet sama ada dalam suku tahun pertama atau kedua.
“Kami berharap ini tidak akan berlaku, tetapi ia adalah sesuatu yang perlu diambil kira,” katanya pada sidang media sempena Seminar Unjuran dan Cabaran Bajet 2017, hari ini.
Veerinderjeet berkata, pengumuman pengubahsuaian bajet tidak akan berlaku seawal Januari, memandangkan kerajaan perlu memantau dan mengumpul data daripada sektor korporat bagi petunjuk kemungkinan pengubahsuaian bajet dalam suku pertama atau kedua.
Sementara itu, Taxand Malaysia menyambut baik penubuhan agensi “Collection Intelligence Arrangement” yang diberi tugas meningkatkan kecekapan dalam pengutipan cukai dan pematuhan.
Katanya, memandangkan ini merupakan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), ia akan membabitkan kesepaduan dalam maklumat Kastam dan LHDN.

Mengenai kemungkinan penggabungan Kastam dan LHDN berhubung kutipan cukai, beliau berkata: “Apabila GST diumumkan, ramai daripada kami berunding dengan pihak berkuasa dan kami mencadangkan mereka (Kastam dan LHDN) digabungkan, tetapi ini tidak dapat dilakukan.
“GST berada di bawah Kastam dan ia merupakan sebuah jabatan kerajaan, manakala LHDN adalah jabatan dikorporatkan.
“Hanya apabila Kastam dikorporatkan, barulah mungkin untuk menggabungkan elemen Kastam dan GST dalam LHDN,” katanya.
Veerinderjeet berkata, Taxand Malaysia yakin dengan penggabungan unit GST Kastam dan LHDN, kerana jika semua berada di bawah satu bumbung, audit tunggal meliputi cukai pendapatan dan GST boleh dilakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA