Selasa, 29 November 2016

Tawan Perak: Pas ikrar gempur 35 kerusi Dun untuk mentadbir secara bersendirian

Pas
PARIT BUNTAR - Pas Perak sedia bertanding sekurang-kurangnya 35 kerusi Dun termasuk meletakkan lima calon Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) di lima kerusi Dun majoriti pengundi bukan Melayu pada PRU14.
Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, keputusan itu dibuat berasaskan kajian dilaksanakan Jabatan Pilihanraya Pas Perak menetapkan sekurang-kurangnya 30 kerusi Dun perlu dimenangi parti itu pada PRU akan datang bagi membolehkan Pas mentadbir Kerajaan Perak secara bersendirian.
Menurutnya, tambahan lima kerusi Dun turut diperuntukkan kepada calon DHPP Perak yang terdiri masyarakat bukan Islam di lokasi-lokasi dikenal pasti bagi mengukuhkan cengkaman parti itu merampas Kerajaan Perak daripada BN.
“Apabila pembentukan tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat (PR) terbubar, kita mengambil keputusan menetapkan dan memberi penumpuan sendiri terhadap seberapa banyak kerusi hendak kita tandingi.
“Jabatan Pilihanraya Pas Perak sudah membuat kajian kemungkinan kawasan-kawasan berdasarkan majoriti Melayu yang akan kita bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi bagi memastikan sekiranya pengundi Melayu meyakini Pas, kita boleh memerintah bersendirian.
“Selain itu, tambahan lima kerusi Dun (turut diperuntukkan) kepada calon DHPP,” katanya pada sidang media pada pra-pelancaran program Kerian Bermunajat di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, kelmarin.
Majlis dirasmikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Razman berkata, bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini, Pas Perak tidak gentar hadapi kemungkinan pertembungan pertandingan tiga atau lebih penjuru di setiap kerusi Dun dan Parlimen.
Menurutnya, Pas Perak lebih memfokuskan usaha mengukuhkan jentera pilihan raya dan aktiviti turun padang bagi mendekati pengundi berbanding bimbang dengan kekuatan parti lawan.
“Cuma Pas minta kepada rakyat untuk berani membuat perubahan dan meletakkan kepercayaan kepada Pas bagi mentadbir Kerajaan Perak kerana kita mempunyai kepakaran dan kekuatan yang diperlukan.

“Keputusan membuat perubahan bukan hanya disandarkan kepada pengundi Melayu, malah perlu melibatkan peranan orang bukan Islam di Perak,” katanya.
Ditanya mengenai inisiatif Pas menangani cabaran mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam susulan isu Rang Undang-undang (RUU) 355 yang mendapat reaksi negatif masyarakat itu, Razman menegaskan Pas terus mengadakan sesi penerangan kepada golongan itu bagi memberi penjelasan sebenar objektif memperkasakan RUU itu.
Menurutnya, dalam pembentangan usul itu di Parlimen, dinyatakan jelas mahkamah syariah tidak boleh bertindak menjatuhkan hukuman kesalahan di bawah RUU 355 kepada orang bukan Islam.
“RUU 355 sebenarnya hanya dikhususkan kepada masyarakat Islam negara ini, jadi apa yang masyarakat bukan Islam hendak takutkan?,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Razman turut merasmikan pra-pelancaran Program Kerian Bermunajat yang dijangka berlangsung selama tiga hari melibatkan Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai pada 16, 17 dan 18 Disember ini.
Menurutnya, program itu bertujuan membangkitkan semangat jentera pilihan raya Pas seluruh Perak bagi memastikan tiga kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu di daerah Kerian pada PRU13 dapat dikekalkan.
“Pada program bakal dirasmikan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin itu, kita akan turut melancarkan jentera pilihan raya bagi kedua-dua Parlimen di daerah Kerian,” katanya.

2 ulasan:

  1. Cuba tawan kedah dan terengganu dulu. Kemudian cuba kekalkan kerajaan2 tersebut buat beberapa penggal. Kekalkan kerajaan kelantan. Tapi tak salah nak angan2 mat jenin

    BalasPadam
  2. Ibarat orang gila yang cuba nak rampas kuasa dari orang gila yang berkuasa. Saya yakin pengundi tak gila nak pilih salah satu dari kedua-dua spesis itu.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA